25 tahun pemerintahan diraja: Pacu Selangor sebagai hab harta intelek, inovasi dan komersial negara

Iklan
Yusnieza

SEPANJANG 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Selangor bukan sahaja muncul sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara, malah berjaya membina reputasi sebagai peneraju inovasi, teknologi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Di bawah naungan kebijaksanaan Baginda, Selangor berkembang daripada sebuah negeri perindustrian kepada pusat yang memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan teknologi serta perlindungan harta intelek (IP), sekali gus memperkukuhkan kedudukannya dalam landskap ekonomi moden negara.

Iklan
Iklan

Transformasi tersebut tidak berlaku secara kebetulan, ia lahir daripada dasar pembangunan yang konsisten, ekosistem inovasi yang matang serta kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan komuniti perniagaan.

Kesemua elemen ini saling melengkapi dalam membentuk sebuah negeri yang bukan sahaja menjana kekayaan melalui pelaburan dan perindustrian, malah melalui idea, kreativiti dan inovasi.

Iklan

Selangor kekal peneraju harta intelek negara

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, kemajuan sesebuah ekonomi hari ini bukan lagi diukur sematamata melalui jumlah kilang atau nilai eksport, sebaliknya keupayaannya mencipta idea baharu, menghasilkan teknologi serta melindungi hasil ciptaan tersebut.

Iklan

“Selangor merekodkan jumlah permohonan harta intelek kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 165,492, merangkumi 129,148 permohonan cap dagangan, 7,836 paten, 1,044 reka bentuk perindustrian, 27,462 hak cipta dan dua petunjuk geografi.

Banyak permohonan paten pula dipacu oleh sektor teknologi maklumat, bioteknologi, pembuatan berteknologi tinggi dan teknologi hijau, manakala peningkatan pendaftaran cap dagangan mencerminkan pertumbuhan memberangsangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri kecil dan sederhana (IKS).

Dalam sektor kreatif pula, Selangor menjadi pusat perkembangan industri animasi, pembangunan perisian serta kandungan digital yang menyumbang kepada peningkatan pendaftaran hak cipta.

Kejayaan syarikat seperti Monsta Studio di Cyberjaya dan Les’ Copaque di Shah Alam membuktikan kreativiti tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa apabila dilindungi melalui sistem harta intelek yang mantap.

Ekosistem inovasi semakin matang

Di sebalik kejayaan tersebut ialah ekosistem inovasi yang semakin berkembang dan saling melengkapi.

Selangor memiliki rangkaian institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan yang menjadi nadi kepada pembangunan teknologi negara.

Melalui Program Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) kendalian MyIPO, universiti serta institusi penyelidikan memainkan peranan penting dalam membantu penyelidik melindungi hasil penyelidikan mereka sebelum dikomersialkan.

Institusi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Management and Science University (MSU) dan University Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) menjadi antara pemacu utama kepada penghasilan teknologi bernilai tinggi.

Kehadiran Selangor Science Park, Cyberjaya dan pelbagai taman perindustrian berteknologi tinggi pula melengkapkan rantaian inovasi apabila hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai komersial tinggi.

Harta intelek pemangkin ekonomi rakyat

Perlindungan harta intelek bukan hanya memberi manfaat kepada syarikat besar, malah membuka peluang kepada usahawan mikro, PKS dan komuniti tempatan untuk meningkatkan daya saing.

Melalui kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Selangor, MyIPO terus memperluaskan program kesedaran dan bimbingan bagi membantu usahawan memahami kepentingan melindungi hak eksklusif terhadap produk dan jenama mereka.

Pada masa sama, usaha memelihara warisan negeri turut diperkukuhkan menerusi pendaftaran Petunjuk Geografi (GI), termasuk pengiktirafan Wau Kapal sebagai produk GI Selangor.

Inisiatif ini bukan sahaja melindungi identiti warisan, malah meningkatkan nilai ekonomi produk tempatan.

Lebih menarik, MyIPO turut memperkenalkan pendekatan baharu melalui skim pembiayaan dan pencagaran IP, membolehkan harta intelek dijadikan aset bernilai bagi mendapatkan akses pembiayaan daripada institusi kewangan.

Pendekatan ini membuka dimensi baharu kepada pembangunan ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti. Dalam era transformasi digital, Selangor berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab inovasi serantau.

Transformasi digital yang dilaksanakan MyIPO menerusi sistem pendaftaran dan carian harta intelek secara dalam talian memudahkan inovator serta komuniti perniagaan mendapatkan perlindungan dengan lebih pantas dan efisien.

Pada masa hadapan, MyIPO akan terus menyokong agenda ekonomi berasaskan pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada perlindungan inovasi dalam bidang teknologi hijau, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

Pendekatan itu dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berteknologi tinggi dan memperkukuh daya saing Selangor sebagai Negeri Pintar bertaraf global.

Warisan kepimpinan membina masa depan

Sesungguhnya, kecemerlangan Selangor dalam bidang harta intelek bukan sekadar ukuran kepada jumlah pendaftaran paten, cap dagangan atau hak cipta.

Lebih penting, ia melambangkan kejayaan membina sebuah ekosistem yang menghargai ilmu, kreativiti dan inovasi sebagai asas kemakmuran negeri.

Sempena Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, kejayaan ini menjadi manifestasi kepada visi kepimpinan yang sentiasa mengangkat ilmu, teknologi dan inovasi sebagai pemacu pembangunan.

Di bawah naungan Baginda, Selangor bukan sahaja muncul sebagai pusat ekonomi negara, malah berkembang sebagai nadi ekonomi berasaskan pengetahuan yang bakal terus memacu kemajuan Malaysia pada masa hadapan.