Mesin 3D bukti kasih bapa

Iklan
Ameer Adwan dan Ummi Syahira sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk Eilman

SEREMBAN – Demi melihat anak tunggalnya yang menghidap penyakit jarang jumpa, Arthrogryposis Multiplex Congenita (AMC) agar dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain, seorang bapa sanggup mempelajari teknologi cetakan 3D untuk menghasilkan sendiri kerusi roda dan alat khas bantu makan.

Bagi Ameer Adwan Rusli, 33, usaha itu bukan sekadar memudahkan pergerakan Muhammad Areeq Eilman, 4, malah membuka peluang kepada anaknya untuk lebih berdikari tanpa terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

Iklan
Iklan

Menurut editor bebas itu, Eilman kini semakin ceria dan berkeyakinan untuk bergaul dengan rakan-rakan sejak menggunakan peralatan berkenaan.

Katanya, idea tersebut tercetus selepas membuat kajian di internet mengenai kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan sama termasuk inisiatif ibu bapa di luar negara menghasilkan sendiri alat bantuan.

Iklan

Gambar kiri - Sebelum ini Eilman terpaksa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak untuk duduk. Ameer Adwan memasang alat bantu makan Eilman di kerusi rodanya

"Kita sedia maklum yang peralatan bantuan perubatan untuk anak-anak seperti ini harganya mahal dan jika di luar negara, kebanyakannya ambil inisiatif buat sendiri.

Iklan

"Jadi saya dapat inspirasi dari situ dan membeli mesin pencetak 3D dengan harga RM2,000 bagi membolehkan saya menghasilkan sendiri segala peralatan mengikut kesesuaian dan keperluan Eilman," katanya ketika ditemui Sinar Ahad di kediamannya di sini.

Ameer berkata, projek pertamanya ialah kerusi roda khas yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.

Menurutnya, Eilman begitu gembira menggunakan kerusi roda tersebut sehingga menganggapnya seperti alat permainan.

"Sebenarnya ada saja kerusi roda khas untuk kanak-kanak seperti Eilman dan harganya dianggarkan RM4,000 atau lebih mahal.

"Tapi ia perlu tempah dan bagi saya reka bentuknya yang besar membuatkan Eilman kurang selesa menggunakannya," katanya.

Eilman menggunakan alat bantu makan yang dihasilkan Ameer Adwan

Tidak terhenti di situ, Ameer turut menghasilkan alat bantu makan yang disesuaikan dengan keadaan tangan Eilman yang kecil dan membengkok.

Katanya, walaupun baru mula menggunakannya, anaknya semakin mahir mengendalikan peralatan itu selepas sebelum ini menghadapi kesukaran untuk makan sendiri.

"Tapi dengan adanya kemudahan tersebut, Eilman boleh makan sendiri tanpa perlu dipaksa atau terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

"Dia tahu yang dia tak sama macam kanak-kanak lain, tapi dia pernah tanya dengan gurunya kenapa dia tak boleh jalan seperti kawan-kawannya yang lain," katanya.

Di sebalik keterbatasan fizikal, Ameer berkata, kepetahan Eilman bercakap menjadi penawar hati buatnya dan isteri, Ummi Syahira Roslan, 33.

Menurutnya, sesiapa yang mendengar Eilman bercerita mungkin tidak menyangka kanak-kanak itu berdepan kesukaran untuk bergerak.

"Sebab itulah bila kami tengok dia boleh duduk dan makan sendiri, ia sangat memberi makna besar.

"Sekarang ini saya dalam proses menyiapkan alat kawalan bagi membolehkan Eilman gerakkan sendiri kerusi roda itu," katanya.

Ameer Adwan dan Ummi Syahira sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk Eilman

Ameer juga berhasrat menghasilkan lebih banyak peralatan khas bagi membantu Eilman menjalani aktiviti harian, termasuk belajar dan bermain bersama rakan sebaya.

Sementara itu, Ummi Syahira berkata, keadaan Eilman dikesan ketika kandungannya berusia lima bulan, malah doktor pernah mencadangkan supaya kehamilan itu ditamatkan.

"Waktu itu doktor ada cadangkan saya gugurkan saja kerana jika lahir pun anak saya tak sempurna. Tapi memandangkan keadaannya dah cukup sifat, saya tak sanggup.

"Sedih memang sedih kerana ini anak pertama saya. Tapi saya reda dan Alhamdulillah walaupun keadaan Eilman begini, tapi sejak lahir dia tak banyak masalah," katanya.

Ummi Syahira bersyukur kerana anaknya tidak berdepan masalah kesihatan lain dan kini hanya perlu menjalani fisioterapi bagi membantu mengekalkan fungsi fizikalnya.