MELAKA – Pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seharusnya berputus asa kerana masih mempunyai peluang kedua untuk melanjutkan pengajian menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pengerusi World Youth Foundation (WYF), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, peluang itu akan dibantu menerusi program Lead & School yang dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan bagi menyokong pelajar yang berdepan cabaran dalam pembelajaran.
Menurutnya, WYF akan membantu menghubungkan pelajar terbabit dengan agensi berkaitan TVET supaya mereka mempunyai laluan alternatif untuk meneruskan pendidikan serta membina kerjaya pada masa depan.
“Bagi program berkaitan pendidikan, kami memberikan fokus kepada anak-anak yang mungkin bergelut dalam pelajaran dan tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan.
“Kita akan cuba menghubungkan mereka dengan agensi berkaitan TVET supaya ada laluan kedua untuk anak-anak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana SPM 2026 sekolah-sekolah dalam Parlimen Hang Tuah Jaya di Masjid Sayyidina Ali pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, program Lead & School telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan tambahan untuk meningkatkan prestasi akademik dan pembangunan diri.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan calon SPM 2026 supaya terus memberi tumpuan kepada persediaan peperiksaan walaupun tempoh yang berbaki semakin singkat.
Katanya, pelajar perlu sentiasa berusaha, mendapatkan restu ibu bapa dan guru serta yakin terhadap kemampuan diri masing-masing.
“Jangan membandingkan pencapaian diri dengan orang lain kerana setiap pelajar mempunyai kelebihan dan kemampuan yang berbeza.
“Usaha berterusan dan keyakinan diri penting untuk membantu mencapai keputusan terbaik,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak di media sosial dan persekitaran digital.
Menurutnya, pengawasan terhadap kandungan yang diakses termasuk individu yang berinteraksi dengan anak-anak secara dalam talian penting bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan unsur negatif.
“Bukan semua yang kita lihat itu sesuai dengan masyarakat kita. Ibu bapa perlu mengambil tahu apa yang dilalui anak-anak, termasuk dengan siapa mereka berkomunikasi secara dalam talian.
“Jangan sampai kita lambat memberikan nasihat sehingga anak-anak terjebak dalam perkara yang tidak baik,” katanya.