MELAKA - Seorang wanita hamil menjadi individu pertama menerima infak ikan tilapia ternakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, selepas mengidam untuk menikmati ikan berkenaan.
Perkara itu dikongsikan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau itu menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.
Menurut Muhamad Akmal, wanita itu menerima ikan tilapia hasil infak orang ramai yang membeli ikan ternakannya, sekali gus berharap pemberian itu dapat memenuhi keinginannya.
“Moga ikan ini dapat hilangkan mengidam itu ya dan insya-ALLAH anak yang lahir itu menjadi anak yang soleh. Anak kampung untuk orang kampung,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muhamad Akmal menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida bagi mengumpul wang bagi menjelaskan ganti rugi berjumlah RM300,000.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya, termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk menjelaskan keseluruhan jumlah berkenaan.
Tindakan itu turut mendapat perhatian rakan-rakannya yang sanggup membeli ikan tilapia ternakannya pada harga RM100 seekor sebelum meminta beliau menginfakkan ikan berkenaan kepada golongan memerlukan.
Melalui video dalam hantaran sama, Muhamad Akmal turut memaklumkan ikan berkenaan diberikan secara percuma hasil sumbangan orang ramai yang meminta beliau menginfakkannya kepada golongan memerlukan.
Beliau juga menyerahkan tiga ekor ikan tilapia kepada wanita berkenaan sambil bergurau berharap pemberian itu dapat menghilangkan rasa mengidamnya.
“Moga ALLAH mudahkan urusan dan anak yang lahir itu menjadi anak yang soleh, insya-ALLAH, nanti review sedap atau tidak sedap ikan itu tau,” katanya.