Teliti tiga aspek sebelum haramkan Waze - Bee Yin

Iklan
Yeo Bee Yin

SHAH ALAM – Kerajaan perlu meneliti tiga aspek utama iaitu keselamatan negara, kedaulatan data dan keupayaan alternatif tempatan sebelum mempertimbangkan cadangan mengharamkan aplikasi navigasi Waze di Malaysia.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin berkata, negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) seperti Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar tidak mengharamkan aplikasi Waze meskipun berada berhampiran kawasan konflik dan mempunyai protokol keselamatan yang ketat.

Iklan
Iklan

“Negara-negara ini terletak berhampiran kawasan konflik dan mempunyai protokol keselamatan negara yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia.

Iklan

Menurut beliau, langkah itu mungkin dipertimbangkan selepas kerajaan meneliti alternatif yang sesuai untuk menggantikan Waze, termasuk kemampuan tempatan membangunkan aplikasi setanding yang mampu beroperasi dengan berkesan.

Mengulas lanjut, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong mempersoalkan sama ada kerajaan telah mengadakan rundingan dengan Alphabet Inc., syarikat induk Waze yang berpangkalan di Amerika Syarikat, bagi melindungi data pengguna Malaysia.

Iklan

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penyimpanan data lokasi pengguna di dalam negara bagi memastikan data tersebut berada di bawah kawalan tempatan.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan menilai keupayaan aplikasi navigasi tempatan untuk menggantikan Waze, khususnya dalam memenuhi keperluan pengguna jalan raya dan pemandu komersial.

“Aplikasi navigasi bukan sahaja membantu pengguna memilih laluan terbaik, malah membolehkan mereka mengesan bahaya di jalan raya serta mendapatkan maklumat trafik secara masa nyata.

“Sekiranya kerajaan bercadang menggantikan Waze, apakah aplikasi alternatif yang sedang dipertimbangkan dan adakah aplikasi tersebut telah diuji bagi memastikan keberkesanannya untuk pengguna biasa serta pemandu komersial di seluruh negara?” katanya.

Dalam pada itu, Bee Yin turut mempersoalkan keupayaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk membangunkan dan mengurus aplikasi navigasi yang setanding dengan produk keluaran syarikat teknologi global.

Menurut beliau, pembangunan sistem navigasi yang cekap dan mampu mengemas kini peta secara pantas memerlukan teknologi canggih, proses penambahbaikan yang berterusan serta tenaga pakar berkemahiran tinggi.

Sebagai perbandingan, katanya, Korea Selatan mempunyai aplikasi navigasi tempatan seperti Naver Map dan KakaoMap yang dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan berskala besar dan bukannya agensi kerajaan.

“Tindakan mengharamkan Waze secara tergesa-gesa berisiko mengganggu urusan harian rakyat, meningkatkan beban ekonomi pekerja gig serta menjejaskan reputasi Malaysia dalam landskap ekonomi digital,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapatkan pandangan pakar serta mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.