MADA, KADA tingkat pemantauan susulan ancaman El Nino

Iklan
Mohamad (tengah) ketika membuat perutusan khas Menteri KPKM berkaitan El Nino di Facebook pada Sabtu.

SHAH ALAM – Petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijangka berdepan cabaran besar susulan fenomena El Nino yang diramalkan melanda negara bermula November ini hingga April 2027.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, fenomena cuaca panas itu berisiko mengurangkan paras air di empangan dan tasik yang membekalkan sumber air bagi pengairan sawah, tanaman serta kegunaan domestik di utara Semenanjung.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, suhu ketika fenomena berkenaan dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius berdasarkan ramalan semasa.

“Sebab itu penanam padi di kawasan MADA diharapkan sentiasa berhubung dengan pihak MADA. Insya-ALLAH, MADA akan terus bersama para petani sama ada secara individu atau menerusi persatuan.

Iklan

“Ia penting supaya maklumat awal dapat disampaikan dan sebarang arahan terkini boleh disalurkan agar kita tidak berdepan situasi panik atau keresahan,” katanya menerusi perutusan khas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkaitan El Nino di Facebook pada Sabtu.

Mohamad berkata, kementerian bersama MADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan meningkatkan kekerapan pengumuman bermula November ini bagi memastikan semua pihak memperoleh maklumat terkini mengenai perkembangan fenomena tersebut.

Iklan

Menurutnya, kerjasama semua pihak amat penting dalam menghadapi keadaan cuaca yang dijangka luar biasa panas, khususnya di utara Semenanjung.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan MADA, KADA dan para petani supaya membuat persediaan awal bagi menghadapi El Nino.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kesan cuaca panas terhadap bekalan air, sistem pengairan sawah dan pertumbuhan tanaman dapat ditangani lebih awal.

“Berdasarkan kajian Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bersama MADA, suhu panas dijangka meningkat dengan ketara.

“Kita mengetahui sistem pengairan sawah di Perlis, Kedah dan sebahagian Pulau Pinang bergantung kepada tiga empangan utama di Kedah, manakala di Kelantan pula bergantung kepada Sungai Kelantan,” katanya.

Mohamad berkata, semua pihak yang terlibat dalam sektor pertanian perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan El Nino kerana fenomena itu boleh menjejaskan sistem pengairan, seterusnya memberi kesan kepada pengeluaran padi dan tanaman sayuran.

Beliau berkata, maklumat awal berkaitan simpanan dan bekalan air perlu disampaikan kepada pesawah supaya mereka dapat membuat persediaan menghadapi kemungkinan perubahan cuaca secara mendadak.

Sementara itu, Pengurus Besar MADA, Nik Kun Nik Man berkata, pihaknya akan bergantung kepada taburan hujan bagi memastikan aktiviti penanaman padi musim kedua 2026 dapat diteruskan berikutan paras air empangan ketika ini tidak mencukupi untuk pelepasan air bagi tujuan pertanian.

“Berdasarkan ramalan METMalaysia, antara November hingga April 2027 dijangka berlaku Super El Nino dengan kebarangkalian 100 peratus.

“Sekiranya keadaan itu berlaku ketika paras air empangan rendah, ia boleh menjejaskan penanaman padi,” katanya.

Menurut beliau, fenomena berkenaan berpotensi mengurangkan hasil pengeluaran padi di kawasan MADA yang selama ini menyumbang kira-kira 38 peratus keperluan beras negara.

“Justeru, kami akan memberi penerangan kepada ahli Jemaah Pengarah dan ketua unit berkaitan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menilai sumber air hujan sedia ada untuk kegunaan pesawah pada musim kedua 2026,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa berkata, Kelantan setakat ini belum berdepan masalah berkaitan El Nino memandangkan sistem pam pengairan masih beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, paras sungai ketika ini melebihi lima meter, manakala pam pengairan boleh berfungsi sehingga paras minimum satu meter.

Beliau berkata, dua pam utama iaitu Kemubu 2 dan Kemubu 4 masih beroperasi bagi menyokong keperluan pengairan di kawasan tanaman padi.

“Alhamdulillah, bermula Disember nanti kami menjangkakan bekalan air di kawasan bendang dan sistem pengairan kekal mencukupi untuk keseluruhan kawasan tanaman padi seluas kira-kira 26,000 hektar,” katanya.