WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton mengkritik sentimen anti-Islam yang semakin ketara dalam politik negara itu, sambil menegaskan beliau sudah muak melihat umat Islam terus dihina semata-mata kerana pegangan agama mereka.
Clinton menyuarakan pendirian tersebut ketika berucap pada program antara agama, Many Faiths, One Florida di Koinonia Worship Center, Florida pada Selasa lalu.
"Saya sudah muak melihat umat Islam dihina hanya kerana mereka beragama Islam," katanya ketika mengulas budaya politik yang semakin memecahbelahkan masyarakat mengikut agama dan latar belakang.
Menurut Clinton, perbezaan kepercayaan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyemai kebencian atau memandang rendah terhadap sesuatu komuniti.
Beliau turut berkongsi kisah anak perempuannya, Chelsea Clinton yang membaca al-Quran dari awal hingga akhir ketika berusia 15 tahun.
Clinton berkata, Chelsea kemudian menunjukkan kepadanya satu petikan daripada kitab suci umat Islam itu yang membawa mesej mengenai kepentingan memahami dan menghormati perbezaan sesama manusia.
"Ayah, baca ini," katanya ketika mengimbas permintaan Chelsea.
Bekas Presiden AS itu kemudian merujuk maksud ayat 13, Surah al-Hujurat yang menjelaskan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali.
Menurutnya, mesej tersebut mengingatkan manusia supaya menjadikan kepelbagaian sebagai peluang untuk memahami dan mempelajari sesuatu daripada orang lain, bukannya mencetuskan permusuhan.
Clinton turut menegaskan bahawa setiap agama mempunyai individu yang melakukan kesalahan, namun perbuatan segelintir pihak tidak sepatutnya digunakan untuk menghukum keseluruhan penganut sesuatu kepercayaan.
"Setiap agama mempunyai individu yang melakukan perkara buruk kerana kita semua manusia yang mempunyai kelemahan.
"Tetapi saya sudah muak dengan peperangan agama dan konflik budaya," katanya.
Kenyataan Clinton dibuat ketika politik AS terus dibayangi pertikaian mengenai agama, termasuk kritikan Presiden Donald Trump terhadap Abdul El-Sayed, calon Demokrat beragama Islam yang bertanding merebut kerusi Senat di Michigan.
Trump sebelum ini dilaporkan menggunakan kenyataan berunsur agama ketika menyerang pencalonan El-Sayed.
Clinton turut mengecam pendekatan politik yang membahagikan masyarakat kepada kelompok 'kita' dan 'mereka', sambil menyeru rakyat AS mengutamakan persefahaman berbanding ketakutan dan kebencian.
Program berkenaan turut menghimpunkan pemimpin masyarakat Islam, Kristian dan Yahudi serta dihadiri calon Gabenor Florida daripada Parti Demokrat, David Jolly. - Agensi