Orang ramai ambil kesempatan jarah gudang makanan selepas terbakar

Iklan
Rakaman tular menunjukkan orang ramai mengambil barangan untuk dibawa pulang. Foto: Agensi

BENGKULU - Ketika sebuah keluarga berdepan kehilangan insan tersayang akibat kebakaran, sekumpulan individu didakwa mengambil kesempatan menjarah barangan di dua gudang yang terbakar di Jalan Bumi Ayu Raya, Kota Bengkulu, Indonesia pada Jumaat.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman video menunjukkan beberapa individu memasuki kawasan kebakaran dan dipercayai membawa keluar barangan dari premis berkenaan tular di media sosial.

Iklan
Iklan

Lebih mengejutkan, kegiatan tersebut dilaporkan berlaku walaupun kawasan kejadian telah dipasang pita keselamatan polis.

Individu yang merakam kejadian turut kedengaran menegur perbuatan kumpulan terbabit serta memberi amaran bahawa rakaman tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Iklan

Menurut laporan media tempatan, kebakaran melibatkan dua gudang penyimpanan makanan ringan dan tepung itu berlaku pada malam Khamis sebelum operasi pemadaman diteruskan hingga awal pagi Jumaat.

Susulan video tular berkenaan, polis menahan 12 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan menjarah kira-kira jam 4 petang waktu tempatan Jumaat.

Iklan

Ketua Polis Sektor Selebar, AKP Bayu Heri Purwono berkata, individu yang ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk suri rumah, buruh harian, pelajar dan individu bawah umur.

Polis turut merampas ratusan bungkus makanan ringan yang dipercayai diambil dari gudang terbabit.

Kesemua individu terbabit dilaporkan telah memohon maaf selepas dibawa ke balai polis, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan masing-masing.

Dalam kejadian kebakaran tersebut, seorang ketua gudang dikenali sebagai Febriansyah ditemukan meninggal dunia berhampiran tangga di dalam salah sebuah bangunan.

Mangsa ditemukan ketika pemeriksaan semula dilakukan pada pagi Jumaat selepas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. - Agensi