PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) disyor meningkatkan pemeriksaan pada waktu malam terhadap premis pemprosesan sisa elektronik (e-waste) di Kawasan Perindustrian Segamat, Johor, bagi memastikan aktiviti pengurusan sisa berkenaan dipantau dengan lebih berkesan.
Syor itu dikemukakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) susulan hasil siasatan yang mendapati pemeriksaan pada waktu malam ketika ini hanya dilaksanakan berdasarkan keperluan dan aduan yang diterima.
EAIC dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan lebih kerap pada waktu malam penting bagi mengesan kemungkinan pelanggaran undang-undang yang berlaku di luar waktu pemeriksaan biasa.
Bagaimanapun, hasil siasatan menerusi Pasukan Petugas E-Waste Segamat 2.0 (PPE 2.0) mendapati JAS telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap premis terbabit, termasuk menangani kesalahan berulang.
“JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu-isu ketidakpatuhan termasuk kesalahan berulang yang dilakukan oleh premis tersebut.
"JAS turut menjalankan pemeriksaan berkala dan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan berkaitan pengurusan buangan terjadual dan pelesenan," katanya.
EAIC menjelaskan, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan termasuk pengeluaran arahan lapangan, notis arahan dan kompaun, selain pendakwaan terhadap premis yang didapati melakukan kesalahan.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan PPE 2.0 dijalankan bagi menilai pelaksanaan syor penambahbaikan terdahulu, selain meneliti dakwaan isu baharu berkaitan penguatkuasaan, termasuk pelesenan separa, pemeriksaan pada waktu malam dan kesalahan berulang.
EAIC turut mengambil maklum bahawa agensi penguatkuasaan telah mula cakna berhubung dengan isu e-waste dan mengambil tindakan secara holistik pada peringkat nasional.
Usaha itu termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara yang ditubuhkan secara rasmi pada 8 Disember 2025.
"Operasi penguatkuasaan bersepadu juga telah dijalankan oleh agensi berkaitan bagi menangani isu pengimportan e-waste ke negara ini dan penguatkuasaan ke atas kegiatan premis e-waste yang beroperasi secara haram," menurut kenyataan itu.