SHAH ALAM - Kerajaan digesa menjelaskan dakwaan berhubung kemungkinan berlaku salah guna kuasa dalam pembangunan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, selain melaksanakan audit bebas serta menetapkan petunjuk prestasi yang boleh diukur terhadap aplikasi berkenaan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, kerajaan wajar mendedahkan struktur kerjasama antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB), termasuk kos pembangunan, proses pemilihan rakan pelaksana serta mekanisme pemantauan setakat yang dibenarkan undang-undang.
Menurutnya, sebarang dakwaan salah laku hendaklah disiasat secara bebas, tanpa menghukum mana-mana pihak sebelum bukti diperoleh.
"Kerajaan disaran menerbitkan penilaian keselamatan siber dan perlindungan data yang menyokong keputusan melarang Waze bagi urusan rasmi, melaksanakan audit bebas terhadap pembangunan TuJu serta menetapkan petunjuk prestasi yang boleh diukur.
"Pelaksanaan TuJu juga wajar dibuat secara berperingkat, dengan ujian kebolehgunaan, ketepatan navigasi, kestabilan sistem dan keupayaan menangani pertambahan pengguna," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, LLM bersama penyedia aplikasi, PCSB giat melaksanakan usaha pemulihan dan penambahbaikan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, susulan gangguan teknikal selepas peningkatan ketara jumlah pengguna.
Menurut LLM, peningkatan itu berlaku susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya orang ramai mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
Katanya, penambahbaikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan TuJu menyediakan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna.
Mengulas lanjut, Mike Chong berkata, kerajaan mesti membuktikan tahap kesediaan, kebolehgunaan dan keberkesanan TuJu sebelum menggalakkan orang ramai menggunakannya sebagai alternatif kepada Waze.
“Namun, timbul persoalan mengenai asas kerajaan mengetengahkan TuJu sebagai alternatif kepada Waze sedangkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo mengakui aplikasi itu masih memerlukan penambahbaikan.
"Inovasi tempatan wajar disokong, tetapi sokongan itu mesti disertai bukti prestasi, tatakelola yang baik dan perlindungan wang awam," katanya.
Tambah beliau, integriti, ketelusan dan akauntabiliti mesti menjadi asas setiap keputusan kerajaan, dan rakyat berhak mengetahui mengapa TuJu diketengahkan sebelum semua kelemahannya diatasi.
Mengulas isu konsistensi dasar, beliau mempersoalkan status kerjasama sedia ada agensi kerajaan dengan Waze, termasuk program 'Waze Connected Citizens' oleh Perbadanan Putrajaya sejak 2019 serta saluran rasmi Kerajaan Negeri Selangor untuk laporan jalan berlubang dan bencana.
"Jika Waze kini dianggap berisiko daripada sudut keselamatan data, adakah kerajaan telah menilai semula kerjasama sedia ada ini?.
"Apakah perubahan penilaian risiko yang membawa kepada keputusan tersebut, dan bagaimana data yang dikongsi sebelum ini dilindungi?" soalnya.
Dalam masa sama, Mike Chong berpandangan pengguna seharusnya diberikan pilihan untuk menggunakan aplikasi navigasi mengikut keselesaan selagi tidak menyalahi undang-undang.