SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada bulan lalu.
Mohd Shuhaily selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Khairatul Animah Jelani.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Shuhaily hargai sokongan masyarakat, serah proses perundangan kepada mahkamah
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di kaunter terminal 1 KLIA di sini jam 1.17 hingga 1.30 tengah hari pada 28 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Dalam kes itu, Mohd Shuhaily diwakili peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Pada 28 September lalu, tular video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily memarahi seorang individu di KLIA.
Susulan itu, pada 1 Oktober lalu, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaannya menerima sebarang keputusan atau tindakan.
Semasa sidang akhbar, beliau berkata, tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang dan mahu lapangan terbang itu bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing.
AKAN MENYUSUL