Rakyat menjerit, siapa mendengar?

Iklan
Kemalangan melibatkan 11 kenderaan di lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman baru-baru ini.

JUMAAT ini, jam 5 petang, penduduk akan sekali lagi berkumpul berhampiran lampu isyarat Taman Alam Budiman (AB), Seksyen U10, Shah Alam.

Bukan untuk meraikan sesuatu. Bukan juga untuk menuntut kemewahan. Mereka hanya mahukan satu perkara yang sekian lama gagal diberikan iaitu jaminan keselamatan ketika menggunakan Persiaran Mokhtar Dahari (PMD).

Iklan
Iklan

Saya teringat catatan kawan saya, Suzool. Nada kali ini berbeza. Bukan lagi marah. Bukan lagi kecewa. Tetapi sudah sampai ke tahap letih.

"Kami dah buat macam-macam. Apa lagi yang kami belum buat?"

Iklan

Himpunan aman yang bakal diadakan Jumaat ini bukan tercetus semalam. Ia merupakan kemuncak kepada siri bantahan dan tuntutan yang sudah tidak terkira banyaknya.

Sesiapa yang melihat rakaman sebuah lori merempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat AB baru-baru ini sehingga menyebabkan beberapa mangsa cedera, pasti dapat merasai betapa gerunnya persimpangan itu.

Iklan

Belum sempat penduduk menarik nafas lega, pada petang Isnin lalu sebuah lagi lori 10 tan yang membawa muatan batu kerikil hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di susur masuk AB. Mujur lori itu tak masuk ke dalam kedai mamak di situ.

Bagi orang luar, ini mungkin sekadar satu lagi berita kemalangan.

Tetapi bagi penduduk AB, ia adalah episod baharu dalam cerita lama yang tidak pernah menemui noktah.

Seingat Suzool dan ramai penduduk lain, isu ini bukan baru setahun dua diperkatakan. Ia sudah berlarutan hampir sedekad. Apabila jalan sambungan Setia Alam dibuka, penduduk mula suarakan kebimbangan. Apabila Lebuhraya DASH siap dan aliran trafik semakin bertambah, isu yang sama kembali dibangkitkan.

Kemudian semuanya senyap. Sehingga kemalangan berikutnya berlaku. Kitarannya sentiasa sama. Kemalangan. Bantahan. Janji. Senyap. Kemalangan lagi. Bantahan lagi. Janji lagi. Senyap lagi.

Apa yang paling mengecewakan, kata Suzool, tindakan yang diambil hampir sentiasa bersifat reaktif. Apabila berlaku tragedi, barulah mesyuarat dipanggil. Apabila kemalangan besar berlaku, barulah kajian diumumkan. Apabila kemarahan rakyat memuncak, barulah cadangan penambahbaikan diketengahkan.

Tulis surat? Sudah berkeping-keping. Jumpa wakil rakyat? Sudah berkali-kali. Townhall dengan JKR? Sudah. Pegawai kanan negeri turun mendengar sendiri keluhan penduduk. Jumpa MBSA, JPJ, pejabat tanah dan agensi lain? Sudah. Bawa ke Parlimen? Sudah juga.

Masuk televisyen? Masuk berita? Termasuklah sudah banyak kali disiarkan akhbar ini.

Suzool turut melontarkan satu sindiran yang kedengaran kasar tetapi lahir daripada rasa kecewa yang mendalam.

"AB tu Alam Budiman. Tapi jangan sampai orang kenang sebagai Alam Barzakh."

Tetapi apa yang saya lihat lebih kasar lagi adalah hakikat pengguna jalan raya terpaksa berhenti di lampu isyarat itu setiap hari dengan perasaan berdebar. Takut jika ada lori yang gagal membrek. Takut jika hari itu giliran mereka pula menjadi mangsa.

Bagi saya, pembinaan jejambat atau flyover yang menjadi tuntutan utama penduduk adalah penyelesaian terbaik, tapi belum diberikan komitmen yang jelas sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

Yang dijanjikan ialah perancangan jangka panjang mengangkat permohonan menaiktaraf Jalan PMD kepada empat lorong termasuk menaiktaraf persimpangan utama bermula dari persimpangan DASH sehingga ke persimpangan Budiman Valley U15.

Perancangan itu pula dilihat bukan penyelesaian terbaik yang diharapkan penduduk.

PMD hari ini bukan lagi sekadar isu kesesakan. Ia isu keselamatan. Dan selepas sekian lama, hanya satu soalan yang masih belum terjawab.

Berapa banyak lagi kemalangan atau kematian yang perlu berlaku sebelum tindakan sebenar diambil?

Atau siapakah yang perlu menjadi mangsa selepas ini sebelum kerajaan negeri dan JKR Selangor merasakan isu ini cukup penting untuk diselesaikan?

*Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian