TERCATAT dalam sejarah ada 10 orang jeneral tentera paling jahat di dunia yang bukan sahaja telah membunuh ramai nyawa tidak berdosa malah melakukan penyeksaan dan kekejaman.
Jeneral pertama ialah Shiro Ishii yang merupakan Ketua Unit 731. Beliau bertanggungjawab mengawasi eksperimen biologi dan perubatan ke atas manusia, termasuk tahanan perang dan orang awam.
Kedua ialah Iwane Matsui yang merupakan komander tentera Jepun ketika kejatuhan Nanjing pada 1937. Beliau dihukum gantung pada 1937 kerana gagal mengawal tenteranya daripada melakukan kekejaman.
Ketiga ialah Heitarō Kimura, komander tentera Jepun di Burma. Dikaitkan dengan kekejaman terhadap tawanan perang dan orang awam dan dia dihukum gantung pada 1948.
Keempat ialah Perdana Menteri dan Menteri Perang Jepun iaitu Hideki Tojo yang bertanggungjawab terhadap dasar agresif ketenteraan, disebabkan itu dia dihukum gantung pada 1948.
Kelima ialah Wilhelm Keitel yang bertanggungjawab menandatangani arahan jenayah perang, termasuk perintah membunuh komisar Soviet dan anggota komando Bersekutu yang ditawan. Dia dihukum mati di Nuremberg.
Keenam Ketua operasi Wehrmacht, Alfred Jodl yang terlibat dalam pelaksanaan arahan ketenteraan Nazi yang melanggar undang-undang perang. Dia dihukum mati pada 1946.
Ketujuh ialah Komander tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic dan dia telah disabitkan atas genosid Srebrenica dan jenayah terhadap kemanusiaan. Mladic dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2017.
Kelapan ialah Hisao Tani yang merupakan Komander Divisyen Keenam Jepun yang terlibat dalam kempen Nanjing. Dia dibicarakan dan dihukum mati pada 1947.
Kesembilan ialah Tomoyuki Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya kerana kejayaan menakluki Tanah Melayu dan Singapura.
Kemudiannya dia disabitkan atas kegagalan mengawal tenteranya daripada melakukan kekejaman di Filipina dan dihukum gantung pada 1946.
Kesepuluh pula ialah Alois Brunner,yang merupakan Pegawai SS Nazi iaitu anggota dan pemimpin kanan dalam Schutzstaffel (SS), iaitu pertubuhan separa tentera dan keselamatan elit Parti Nazi di Jerman
Dia bertanggungjawab membantu mengatur penghantaran puluhan ribu orang Yahudi ke kem pembunuhan Nazi.
Sepuluh manusia durjana ini bertanggungjawab menyebabkan kematian dan bolehlah dianggap sebagai pengkhianatan dan bencana besar kepada kemanusiaan.
Satu lagi pengkhianatan yang paling besar ialah kepada negara. Di Malaysia pada tahun 2007, gempar dengan kes kehilangan dua enjin J85-21 pesawat pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ia dikesan di Uruguay pada 2010 selepas dipercayai dijual kepada syarikat di Uruguay.
Aset itu dilaporkan hilang dari stor TUDM di Bangunan MATRA 1, Pangkalan Udara Sungai Besi sekitar akhir 2007.
Anggaran awal media dan beberapa pihak menyebut puluhan juta ringgit, namun siasatan menyatakan nilai pembelian asal sekitar RM300,000 bagi setiap satu enjin itu.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Januari 2010 merumuskan kes ini berpunca daripada kelemahan kawalan dalaman tanpa bukti pembabitan pegawai kanan manakala individu berkaitan turut didakwa di mahkamah.
Terbaharu pada Jumaat, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah menggunakan aset TUDM.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine di Pangkalan TUDM Subang pada 17 November lalu.
Dalam operasi yang dilakukan, pihak polis telah merampas 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg bahan kimia.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Jika terbukti di mahkamah nanti, maka bolehlah kita katakan bahawa inilah suatu pengkhianatan terhadap negara yang tidak boleh dimaafkan.
Aset tentera adalah untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat tetapi bukan untuk kepentingan peribadi.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian