Sudah 7 kali kenaikan gaji minimum dilaksanakan

Iklan
Pekerja Malaysia sudah melalui sebanyak tujuh kali kenaikan gaji minimum sejak ia mula diperkenalkan 13 tahun yang lalu. - Gambar hiasan.

PELAKSANAAN gaji minimum bukanlah perkara baharu di Malaysia kerana kali pertama ia dilaksanakan ialah pada tahun 2013 iaitu sebanyak RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Perdana Menteri dan ia dilaksanakan selepas empat tahun beliau menjawat jawatan tersebut.

Iklan
Iklan

Kemudian pada tahun 2016 beliau sekali lagi mengumumkan kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kemudian pada tahun 2019, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menaikkan kepada RM1,100.

Iklan

Cadangan awal dibuat pada September 2018 apabila Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kadar gaji minimum yang diseragamkan untuk seluruh negara (termasuk Sabah dan Sarawak) sebanyak RM1,050 sebulan bermula 1 Januari 2019.

Namun ia mendapat pelbagai reaksi dan desakan daripada kesatuan sekerja yang menyifatkan kenaikan RM50 itu terlalu kecil, menyebabkan Menteri Kewangan pada ketika itu, Lim Guan Eng mengumumkan kadar tersebut dinaikkan lagi kepada RM1,100 sebulan.

Iklan

Selepas itu, pada tahun 2020, Kerajaan Pakatan Harapan sekali lagi menaikkan gaji minimum kepada RM1,200, namun pelaksanaannya hanyalah untuk di wilayah bandar utama sahaja.

Dan pada tahun 2022 ia dinaikkan kepada RM1,500 secara berperingkat di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apabila Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau membuat keputusan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 pada tahun 2025 dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kategori majikan.

Dan dua tahun selepas itu, Anwar membuat keputusan untuk menaikkan kadar tersebut sebanyak RM2,000 dengan menetapkan syarat hanya syarikat dengan nilai jualan RM50 juta ke atas sahaja diwajibkan melaksanakan gaji minimum itu.

Ini bererti pekerja Malaysia sudah melalui sebanyak tujuh kali kenaikan gaji minimum sejak ia mula diperkenalkan 13 tahun yang lalu.

Bagi syarikat memanglah ia sesuatu yang membebankan kerana pelaksanaan gaji minimum telah diwajibkan kepada majikan. Mereka perlu mengorbankan keuntungan demi melaksanakan keputusan tersebut.

Bagi pekerja baru ia adalah satu kelegaan tetapi bagi pekerja lama, mereka merasakan berlaku ketidakadilan apabila gaji orang baru lebih tinggi daripada mereka.

Tetapi bagi kebanyakan rakyat pula timbul kebimbangan harga barang akan meningkat kerana bimbang perniagaan akan membiayai kenaikan gaji dengan meletakkan beban itu kepada pengguna.

Model negara lain bantu pekerja

Selain Malaysia, ada banyak negara lain yang membantu rakyat berpendapatan rendah melalui berbagai cara seperti model gaji minimum, bantuan tunai kepada pekerja, subsidi kos sara hidup dan kredit cukai.

Sebagai contoh, Singapura tidak mempunyai gaji minimum nasional untuk semua pekerja, sebaliknya kerajaan menggunakan Workfare Income Supplement untuk menambah pendapatan pekerja berpendapatan rendah yang memenuhi syarat, di samping gaji minimum berasaskan sektor tertentu melalui Model Gaji Progresif.

Australia menetapkan gaji minimum nasional dan kadar minimum khusus bagi sesetengah pekerjaan melalui sistem anugerah pekerjaan.

Pekerja berpendapatan rendah juga boleh mendapat manfaat daripada sistem cukai dan bantuan kebajikan yang tertakluk pada kelayakan.

Kerajaan United Kingdom menetapkan kadar gaji minimum mengikut umur dan kategori pekerja.

Kredit Universal pula membantu individu atau isi rumah yang layak, termasuk sesetengah pekerja yang mempunyai pendapatan rendah walaupun mereka bekerja.

Jerman pula menggabungkan gaji minimum berkanun dengan bantuan sosial dan perumahan bagi isi rumah yang layak.

Tujuannya ialah mengurangkan risiko pekerja berpendapatan rendah tidak mampu menanggung keperluan asas.

Sementara Amerika Syarikat, selain gaji minimum persekutuan, Earned Income Tax Credit (EITC) memberikan kredit cukai kepada pekerja berpendapatan rendah yang memenuhi syarat. Nilainya bergantung pada pendapatan, status pemfailan cukai dan bilangan anak yang layak.

Jadi untuk masa depan mungkin kerajaan boleh melihat model-model lain untuk membantu pekerja di negara ini meningkatkan pendapatan mereka.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian