SHAH ALAM - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menegur Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, secara terbuka di tengah-tengah kemelut Perlembagaan yang melanda negeri itu.
Menerusi beberapa video yang dimuat naik di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz kemudian mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadap Baginda.
“Kenapa dia mahu jumpa saya? Selagi dia tidak menarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, pergi,” titah baginda dalam keadaan jelas berang sebelum berpaling ke arah Ismail.
Sebagai respons, Ismail melakukan angkat sembah, iaitu gerakan tradisional ketika menghadap atau menyambut kerabat diraja.
Susulan teguran itu, jemaah masjid kedengaran melaungkan “Daulat Tuanku”.
Negeri Sembilan berdepan kemelut diraja sejak April lalu apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai undang mengumumkan kononnya penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri itu.
Undang yang dipertikaikan sama turut dikatakan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu dalam satu majlis di sebuah hotel lima bintang di Melaka pada Jun lalu.
Bulan lalu, Ismail menyokong kenyataan yang dikeluarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kononnya mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Susulan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan seluruh anggota MMKN negeri.