KUALA PILAH - Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Negeri Sembilan berikrar dan bersumpah untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta institusi diraja.
Mereka juga bersumpah di hadapan baginda bahawa jawatan Exco yang diberikan akan gugur serta-merta sekiranya melanggar ikrar berkenaan, selain memastikan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“Sekiranya saya melanggar sumpah saya di atas, maka gugurlah jawatan ini serta-merta,” menurut lafaz sumpah yang dibacakan oleh kesemua Exco pada majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Jumaat.
Dalam lafaz sumpah yang dibacakan, mereka berikrar akan memberikan nasihat kepada baginda dengan sedaya upaya untuk memastikan kesempurnaan urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Mereka juga bersumpah untuk tidak mendedahkan perkara yang dibawa untuk pertimbangan atau diketahui dalam kapasiti sebagai Exco, kecuali bagi menjalankan kewajipan atau dengan perkenan khas baginda.
Empat Exco daripada Barisan Nasional (BN) yang mengangkat sumpah ialah Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling), Suhaimi Aini (Kota) dan Koh Kim Swee (Repah) daripada MCA.
Dua lagi Exco daripada Perikatan Nasional (PN) ialah Ridzuan Ahmad (Gemas) daripada Parti Wawasan dan Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) daripada Pas.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Istiadat itu turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi dan Menteri Besar, Ismail Lasim.