Undang Yang Empat termasuk yang dipertikaikan menyambut baik perundingan penurunan takhta Tuanku Muhriz

Iklan
Kenyataan bersama Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan serta Tunku Besar Tampin.

SEREMBAN - Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan dan Tunku Besar Tampin menyambut baik sebarang ruang perundingan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenaan urusan penurunan takhta baginda.

Menurut kenyataan itu, rundingan berkenaan bagi memastikan proses tersebut dibuat secara baik dalam semangat kekeluargaan dan tanpa merendah atau menghina mana-mana pihak.

Iklan
Iklan

"Kami juga menyahut titah Raja-Raja Melayu agar ruang perundingan dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mereka berkata, semua pihak wajib menghormatinya tanpa kecuali dan seperti mana titah Raja-Raja Melayu, pihak luar diseru agar tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta terbabit.

Iklan

Tambah mereka, seruan berkenaan selaras dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin bahawa pertikaian tentang hak naik takhta sesebuah negeri hendaklah diputuskan hanya oleh pihak berkuasa dan mengikut cara yang ditetapkan oleh perlembagaan negeri itu.

"Bagi Negeri Sembilan, pihak berkuasa itu ialah Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) dan kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini.

Iklan

"Semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan perlembagaan negeri," ujar mereka lagi.

Selain itu, mereka turut mengingatkan bahawa pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah dalam soal krisis yang berlaku ialah Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Justeru, mereka menyeru agar setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri menurut arahan Menteri Besar serta melaksanakan keputusan MMKN berhubung proklamasi di bawah Perkara 10 UUTKNS tanpa berlengah.

"Kepatuhan sedemikian ialah cara menjunjung titah seruan agar urusan ini diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa," menurut kenyataan itu.

Berhubung proklamasi yang menjadi asas pendirian mereka, dinyatakan bahawa dokumen itu telah ditandatangani dan dimeteraikan oleh mereka sebelum disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos 2026.

Menurut kenyataan itu, MMKN menerusi Keputusan Bil. 6 Tahun 2026 bertarikh 15 September kemudian menerima proklamasi tersebut sebagai sempurna menurut Perkara 10(2), selain mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakannya serta-merta.

Mereka turut menegaskan pendirian bahawa peruntukan berkenaan tidak mensyaratkan proklamasi itu diwartakan.

Menurut kenyataan itu lagi, krisis takhta ini tidak wajar berpanjangan sehingga menggugat perjalanan kuasa pentadbiran negeri dan menjejaskan kesejahteraan rakyat yang telah memberikan mandat besar kepada wakil rakyat pilihan mereka.

“Mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menambah syarat pewartaan atau prasyarat lain yang tidak terkandung dalam teks UUTKNS dan pandangan Jabatan Peguam Negara tidak boleh bercanggah dengan peruntukan UUTKNS,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, mereka juga menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya anak-anak buah, buapak dan Lembaga agar bertenang dan menjaga tutur kata.

Tambah mereka, rakyat juga diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang memecahbelahkan.