BANGKOK - Sepasang suami isteri dari Malaysia yang sedang berbulan madu di Thailand mencetuskan kebimbangan keselamatan di Bangkok pada Rabu, selepas kereta mereka ditemukan berada di kawasan larangan.
Situasi itu mendorong pihak berkuasa untuk memanggil Unit Pemusnah Bom (EOD) bagi memeriksa kenderaan tersebut.
Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Polis Siam Boonsom berkata, kereta berwarna merah dengan nombor pendaftaran Malaysia itu ditemukan di laluan pejalan kaki di Sukhumvit 17, daerah Lumpini, Bangkok.
Penemuan itu menimbulkan kebimbangan memandangkan tahap keselamatan telah dipertingkatkan sempena Mesyuarat Tahunan Kumpulan IMF-Bank Dunia 2026 yang sedang berlangsung.
Beliau berkata pegawai Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) ternampak kenderaan itu semasa melakukan rondaan pada petang Rabu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang ia mungkin mengandungi bahan berbahaya.
"Pegawai EOD telah dipanggil untuk memeriksa kenderaan tersebut.
Siam, yang tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pasangan Malaysia itu berkata, mereka telah disoal siasat.
Polis mendapati pasangan itu tiba di Thailand pada 11 Oktober untuk berbulan madu.
Mereka dalam perjalanan melawat beberapa wilayah menggunakan kereta persendirian dan dijadualkan pulang ke Malaysia pada 17 Oktober.
Menurut beliau, pasangan itu menjelaskan bahawa mereka membeli bahan api tersebut di sebuah stesen minyak di Malaysia kerana tidak biasa dengan jalan di Thailand dan ingin menyimpan bekalan tambahan untuk kegunaan kecemasan.
Tambah Siam, pasangan berkenaan memaklumkan bahawa mereka meletakkan kenderaan di lokasi itu untuk mengunjungi sebuah pusat beli-belah, setelah seorang pemandu teksi tempatan memberitahu mereka parkir dibenarkan di situ.
"Pemeriksaan awal mendapati tiada barang terlarang di dalam kenderaan dan jumlah bahan api yang dibawa tidak melebihi had yang dibenarkan undang-undang.
"Bagaimanapun mereka dikenakan denda sebanyak 2,000 Baht (kira-kira RM243.25) kerana meletakkan kenderaan di zon larangan parkir yang telah ditandakan dengan jelas," katanya.- Bernama