JELEBU - Lembaga Adat Luak Jelebu mendakwa istiadat penzahiran Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti tidak sah dan tidak diiktiraf mengikut aturan adat purba luak berkenaan.
Sekreteriat lembaga itu dalam satu kenyataan berkata, proses pemilihan, pelantikan serta istiadat penzahiran terbabit tidak mengikut lunas dan aturan adat yang sebenar.
"Proses pemilihan dan pelantikan Azrin dilakukan tanpa penglibatan, rujukan atau persetujuan mutlak majoriti penyandang gelaran Dato' Lembaga Adat Luak Jelebu yang sah mengikut nasab dan tertib adat purba.
"Sebarang istiadat penzahiran atau pemasyhuran yang membelakangkan institusi adat di peringkat luak (telapak waris) disifatkan sebagai tidak mematuhi susur galur ketetapan adat perpatih dan garis panduan pertabalan Undang Luak Jelebu yang menjadi sandaran Luak Jelebu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Susulan itu , menurut kenyataan berkenaan, laporan polis telah dibuat secara rasmi oleh Dato'-Dato' Lembaga Adat Luak Jelebu pada 12 Oktober lalu bagi membantah penganjuran istiadat terbabit.
Tambah sekreteriat, pihaknya mengekalkan pendirian bahawa sebarang keputusan atau ketetapan awal yang mengetepikan institusi Undang Luak Jelebu sedia ada sebelum ini adalah teratur dan masih tertakluk kepada pertikaian undang-undang serta adat yang belum selesai sepenuhnya.
"Sehubungan itu, Lembaga Adat Luak Jelebu menyeru seluruh anak buah luak dan masyarakat umum agar tidak terkeliru dengan penzahiran tersebut.
"Pihak Lembaga Adat akan terus mempertahankan kedaulatan aturan adat yang tulen demi memelihara maruah, keutuhan dan keharmonian institusi beraja serta institusi luak daripada sebarang cubaan campur tangan yang melanggar tradisi turun-temurun,"katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Azrin yang merupakan pengurus kanan sebuah syarikat telekomunikasi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17.