PALANGKA RAYA - Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni menyifatkan desakan supaya beliau meletakkan jawatan susulan krisis kebakaran hutan dan tanah sebagai 'vitamin' untuk bekerja lebih keras dalam menangani masalah berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan terbuka menerima sebarang teguran termasuk kritikan keras daripada masyarakat yang tidak berpuas hati dengan usaha menangani kebakaran dan pencemaran jerebu di Kalimantan Tengah.
"Kritikan, cadangan, malah kritikan pedas sekalipun kami terima sebagai vitamin untuk bekerja lebih keras lagi.
"Kami memerlukan sokongan seluruh masyarakat supaya dapat bersama-sama menghadapi bencana ini," katanya seperti dilaporkan detikKalimantan pada Selasa.
Raja Juli berkata demikian ketika meninjau kawasan kebakaran hutan dan tanah di Taman Negara Sebangau, Palangka Raya pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan pusat dan wilayah amat bersimpati terhadap nasib penduduk yang terpaksa berdepan pencemaran jerebu sejak kira-kira tiga bulan lalu.
"Kami daripada kerajaan pusat dan wilayah sangat bersimpati terhadap masyarakat yang terdedah kepada jerebu sepanjang tiga bulan kebelakangan ini.
"Keadaan ini mendorong kami bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh. Kami sama sekali tidak mengabaikan atau melepaskan tanggungjawab," katanya.
Terdahulu, sekumpulan pemuda mengadakan demonstrasi di hadapan hotel penginapan Raja Juli di Palangka Raya pada malam Isnin bagi mendesaknya berundur daripada jawatan Menteri Perhutanan.
Wakil kumpulan berkenaan, Aris mendakwa usaha kerajaan menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Tengah masih belum menunjukkan hasil yang nyata.
"Kalau tidak mampu menjadi menteri, lebih baik letak jawatan sahaja sebagai Menteri Perhutanan," katanya.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan lawatan Raja Juli ke wilayah itu yang didakwa tidak membawa perubahan ketara terhadap keadaan di lapangan.
Menurutnya, pencemaran jerebu yang berlarutan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah mengancam kesihatan penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Aris menggesa kerajaan pusat mengambil tindakan lebih konkrit dan tegas bagi memastikan kebakaran dapat dikawal serta mengurangkan kesan jerebu terhadap kehidupan masyarakat. - Agensi