Tujuh minit ubah nasib Real Madrid

Iklan
Kemasukan Endrick (kanan) pada minit ke-59 menjadi titik kebangkitan Real Madrid selepas ketinggalan 2-3 sebelum menang 4-3 di Stadium Olimpico. Foto Agensi

REAL Madrid mencetuskan kebangkitan dramatik apabila meledak tiga gol dalam tempoh tujuh minit terakhir untuk menewaskan AS Roma, 4-3 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Olimpico, awal pagi Khamis.

Ketika ketinggalan 1-3 dan berdepan kekalahan, gergasi Sepanyol itu bangkit menerusi jaringan Carlos Espí pada minit ke-83, Endrick (85) sebelum Antonio Rüdiger melengkapkan kebangkitan dengan gol kemenangan pada minit ke-90.

Iklan
Iklan

Kemasukan Endrick pada minit ke-59 menjadi antara titik perubahan apabila penyerang muda Brazil itu memberikan tenaga baharu kepada jentera serangan Real yang bergelut menembusi pertahanan tuan rumah.

Endrick bukan sahaja membantu meningkatkan tekanan terhadap Roma, malah turut menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Arda Güler.

Iklan

Güler kemudian memainkan peranan penting sekali lagi apabila sepakan penjuru yang dilakukannya membuka ruang buat Rüdiger menyudahkan peluang dengan bergaya untuk memastikan kemenangan Real.

Sebelum kebangkitan itu, Roma kelihatan mampu mengawal permainan selepas Donyell Malen meledak dua gol pada minit ke-51 dan ke-58, sekali gus meletakkan tuan rumah di hadapan 3-1.

Iklan

Bagaimanapun, kegagalan mengekalkan disiplin pertahanan pada penghujung perlawanan menghukum Roma yang terpaksa menerima hakikat kehilangan kemenangan di laman sendiri.