Musibah luar waktu kerja

Iklan
Kesan kemalangan mengubah rutin harian serta kedudukan kewangan mangsa. Gambar hiasan janaan AI

SHAH ALAM - Seorang ibu tidak lagi mampu mendukung anak, seorang pekerja sukar menguruskan diri sendiri manakala seorang lelaki berusia 59 tahun terpaksa melakukan kerja lebih ringan akibat kecederaan.

Semuanya bermula dengan kemalangan ketika menjalani rutin biasa di luar waktu bekerja, daripada berjoging, membasuh pinggan, mengambil anak di sekolah hingga menunggang motosikal.

Iklan
Iklan

Ada yang terpaksa menjalani pembedahan, mengambil cuti sakit sehingga 54 hari, kehilangan sebahagian pendapatan dan bergantung kepada bantuan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

Bagi enam pekerja yang berkongsi pengalaman dengan Sinar Harian, kesan kemalangan bukan sekadar kesakitan fizikal, malah turut mengubah rutin harian serta kedudukan kewangan masing-masing.

Iklan

Namun, ketika berdepan keadaan sukar itu, Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi antara sumber bantuan yang meringankan beban mereka.

Skim tersebut diperkenalkan pada 1 Jun 2026 bagi menyediakan perlindungan kepada pekerja layak terhadap kemalangan bukan berkaitan pekerjaan termasuk ketika berada di luar waktu bekerja.

Iklan

Amira Kalisha (tengah) cedera ketika berjoging pada hari cuti.

KISAH 1

Anak tidak lagi minta didukung

Bagi Amira Khalisha Arshad, 28, kecederaan ketika berjoging di belakang rumah pada 13 Julai lalu bukan sahaja menyebabkan buku lali kirinya patah, malah mengubah kehidupan seluruh keluarga.

Pembantu Pengurusan Murid di Sekolah Kebangsaan Seri Sedorok itu terpaksa cuti sakit selama 54 hari selepas doktor mengesahkan kecederaan berkenaan.

Sepanjang tempoh tersebut, rutin yang sebelum ini dianggap mudah seperti memasak, mandi dan menguruskan anak bertukar menjadi cabaran kerana pergerakannya terbatas.

Malah, Amira Khalisha terpaksa tinggal sementara di rumah ibu bapanya kerana keadaan kediaman sendiri dua tingkat yang menyukarkan pergerakan ketika kakinya bersimen.

Menurutnya, ibu bapa banyak membantu menyediakan makanan, manakala suami mengambil alih sebahagian tanggungjawab menguruskan anak.

Namun, perubahan yang paling menyentuh hati ialah sikap anak yang mula memahami keadaan ibunya.

Jika sebelum ini anak sering meminta didukung, permintaan itu tidak lagi kedengaran apabila melihat kaki Amira Khalisha berbalut.

“Anak saya faham sebab dia nampak kaki mak dia sakit, jadi dia tak minta dukung.

“Kalau selalu dia minta dukung, sekarang bila nampak kaki saya berbalut, dia minta bapanya yang dukung,” katanya.

Selain kesukaran menguruskan keluarga, Amira Khalisha turut berdepan kekangan kewangan apabila dimaklumkan sebahagian tempoh cuti sakitnya dikategorikan sebagai cuti tanpa gaji.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia perlu membayar balik gaji melebihi RM2,000, walaupun pada peringkat awal dimaklumkan kelayakan cuti bergaji.

Amira berkata, manfaat LINDUNG 24 Jam sekitar RM1,200 diterimanya membantu menampung perbelanjaan termasuk pembelian simen gentian, susu dan suplemen.

“Bila dapat bantuan ini, dapatlah kurangkan sedikit beban untuk bayar balik gaji. Saya bayar secara ansuran mengikut kemampuan,” ujarnya.

Azrul Azuan menunjukkan keadaan terkini selepas terjatuh ketika membasuh pinggan.

KISAH 2

‘Saya hampir opt-out perlindungan’

Berbeza dengan Amira, Azrul Azuan Abdullah, 34, hampir membuat keputusan untuk keluar daripada LINDUNG 24 Jam kerana menganggap caruman tambahan itu membebankan.

Bagaimanapun, pandangannya berubah selepas tergelincir ketika membasuh pinggan di dapur rumah pada hujung minggu sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya patah.

Azrul yang bekerja di sebuah kilang di Selangor berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada lantai licin akibat kebocoran singki, sebelum tangannya terhentak pada meja dapur.

Kecederaan itu memaksanya menjalani pembedahan bagi menyambung tulang dan tidak dapat bekerja selama dua bulan.

Sepanjang tempoh pemulihan, bukan sahaja pergerakannya terbatas malah urusan asas seperti makan, mempersiapkan diri dan memandu turut menjadi sukar.

“Saya tidak dapat melakukan apa-apa termasuk membawa motosikal dan kereta. Rutin harian saya banyak terjejas, termasuk menguruskan diri sendiri,” ujarnya.

Menurut Azrul, tempoh dua bulan tanpa dapat bekerja seperti biasa turut memberi kesan besar terhadap pendapatannya, sedangkan perbelanjaan isi rumah dan komitmen sedia ada tetap perlu dijelaskan.

Nasibnya agak baik kerana belum meneruskan hasrat keluar daripada skim tersebut apabila kemalangan berlaku.

Azrul kemudian menerima bayaran faedah hilang upaya sementara sebanyak RM3,300 yang digunakan bagi membantu menampung perbelanjaan sepanjang tempoh pemulihan.

“Sebelum ini saya memang tak faham, jadi hampir juga saya nak pilih untuk keluar daripada LINDUNG 24 Jam.

“Nasihat saya kepada sesiapa yang sudah opt-out, kalau boleh masuk balik, masuk balik. Apa yang berlaku kepada saya ini satu pengajaran untuk kita semua,” ujarnya.

Seng Kiong

KISAH 3

Gaji terputus, kerja tidak lagi sama

Kesan kehilangan pendapatan turut dirasai Lee Seng Kiong, 59, yang bekerja sebagai pembantu kedai ikan di Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Dia mengalami kecederaan di kaki kanan, tangan kanan, rusuk dan kepala selepas terbabit kemalangan motosikal di KM18 laluan Johor Bahru-Gelang Patah pada 19 Julai lalu.

Kemalangan itu menyebabkan Seng Kiong menerima rawatan di hospital dan cuti sakit melebihi sebulan.

Sepanjang tempoh tidak bekerja, masalah paling membimbangkannya bukan sekadar kesakitan akibat kecederaan, tetapi bagaimana hendak mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan.

“Memang duit tidak cukup. Duit yang dapat itu untuk makanan, perubatan dan bayar rumah. Gaji tidak masuk, jadi bantuan itu dapatlah tampung sedikit,” katanya.

Walaupun sudah kembali bekerja, Seng Kiong mengakui masih mengalami kesakitan dan tidak lagi mampu melakukan semua tugas berat seperti sebelumnya.

Kerja harian yang sebelum ini melibatkan aktiviti mengangkat barang, menukar air dan membersihkan kolam ikan terpaksa disesuaikan mengikut kemampuan fizikal.

Seng Kiong turut mengakui pernah mempertimbangkan untuk keluar daripada LINDUNG 24 Jam kerana potongan caruman bulanan, namun kemalangan itu mengubah pandangannya.

KISAH 4

RM180 untuk kembali bergerak

Kakitangan swasta, Mimi Ammelia Mohamad Yusoff, 34, terlibat kemalangan ketika keluar mengambil anak selepas tamat waktu bekerja pada 26 Jun lalu.

Kaki kirinya termasuk ke dalam lubang berhampiran pintu kereta yang diletakkan di Kota Kemuning, Bukit Rimau menyebabkan buku lali membengkak beberapa jam kemudian.

Walaupun pemeriksaan X-ray tidak menunjukkan tulang patah, kecederaan tisu menyebabkan kakinya perlu dipasang simen separuh dan dia menerima cuti sakit selama 10 hari.

Sepanjang tempoh itu, Mimi tidak mampu memandu dan terpaksa menyerahkan urusan anak kepada suami.

Pergerakannya juga terbatas sehingga banyak menghabiskan masa di dalam bilik, manakala aktiviti mandi menjadi sukar kerana perlu memastikan simen pada kaki tidak terkena air.

“Memang agak susah untuk uruskan diri sendiri dengan anak. Suami yang uruskan semuanya sebab saya tak boleh memandu,” katanya.

Mimi menerima manfaat sebanyak RM180 yang kemudian digunakan untuk membeli pelindung buku lali bagi membantu proses pemulihan.

Walaupun jumlah itu jauh lebih kecil berbanding bayaran diterima sesetengah penerima lain, baginya bantuan tersebut tetap mempunyai kegunaan.

“RM180 itu saya gunakan untuk beli ankle guard. Sekurang-kurangnya ada juga bantuan yang boleh digunakan ketika itu,” ujarnya.

Muhammad Nashrul perlu menjalani pembedahan selepas digigit kucing peliharaan.

KISAH 5

Gigitan kucing bawa ke bilik bedah

Seorang operator kilang Muhammad Nashrul Md Sani, 29, dari Sendayan, Negeri Sembilan, pada mulanya menganggap gigitan kucing peliharaan ketika hendak keluar rumah tidak serius.

Dia tetap pergi bekerja seperti biasa, namun keadaan berubah apabila kaki kanannya mula membengkak sehingga menyukarkan pergerakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku jangkitan yang memerlukan pembedahan kecil, selain rawatan di hospital selama lima hari.

Muhammad Nashrul berkata, dia tidak bekerja selama lapan hari termasuk tempoh berehat di rumah selepas keluar dari wad.

Walaupun gaji pokok tidak terjejas kerana mempunyai sijil cuti sakit, pendapatannya tetap berkurangan akibat potongan elaun.

“Pada mulanya saya rasa biasa sahaja sebab memang sudah biasa bela kucing. Tidak sangka gigitan itu sampai menyebabkan saya masuk hospital.

“Gaji asas tidak terganggu, tetapi ada potongan elaun. Tuntutan LINDUNG 24 Jam dapat membantu saya,” katanya.

KISAH 6

Empat jahitan selepas solat Jumaat

Juruteknik, Muhammad Ammar Jasni, 27, dari Kulai, Johor, pula cedera selepas selesai menunaikan solat Jumaat apabila dia hilang keseimbangan ketika keluar dari kawasan masjid yang sesak.

Ketika cuba mengelakkan diri terjatuh, kakinya tersepak bucu lantai yang tajam sehingga menyebabkan tapak ibu jari kaki terkoyak dan memerlukan empat jahitan.

Walaupun kecederaan itu tidak melibatkan patah tulang, pekerjaannya sebagai juruteknik memerlukan dia banyak berjalan, menaiki tangga dan memakai kasut keselamatan.

Menurut Muhammad Ammar, kasut yang keras dan berat boleh menekan kawasan jahitan, manakala pergerakan berlebihan berisiko mengganggu proses penyembuhan.

Akibat kecederaan, dia terpaksa mengambil cuti sakit selama seminggu dan menerima manfaat kira-kira RM500.

“Saya MC seminggu sahaja dan dapat kira-kira RM500. Lebih kurang seminggu selepas mohon, duit itu sudah masuk.

“Kalau tidak ada LINDUNG 24 Jam, susah juga kalau kita tidak dapat bekerja,” katanya.

Bagi keenam-enam pekerja yang dilaporkan ini, kemalangan berlaku dalam keadaan berbeza, tetapi kesannya melangkaui tempoh mendapatkan rawatan.

Ada yang terpaksa mengubah cara menguruskan anak, menyerahkan tugas harian kepada pasangan, melakukan kerja lebih ringan atau mencari jalan menampung komitmen kewangan.

Pengalaman mereka memperlihatkan waktu bekerja mungkin mempunyai had, namun risiko kemalangan tidak terhenti apabila seseorang pekerja pulang ke rumah.