KUALA LUMPUR - Wang simpanan, duit pencen serta sumber kewangan lebih stabil menyebabkan warga emas antara sasaran bernilai tinggi sindiket penipuan terutama membabitkan tawaran pelaburan.
Aktivis Anti Scam, Rahmat Fitri Abdullah berkata, golongan tersebut mudah tertarik dengan tawaran pendapatan pasif yang menjanjikan keuntungan secara berkala atau segera tanpa perlu bekerja.
"Memasukkan sejumlah wang dan menerima pulangan tinggi setiap bulan boleh menarik perhatian warga emas yang mahu menambah pendapatan atau mendapatkan hasil daripada simpanan mereka.
“Pada masa sama, sebahagian warga emas masih kurang mahir guna teknologi digital dan media sosial kerana mereka tidak membesar dalam persekitaran digital.
“Mereka mungkin guna media sosial sebab anak-anak atau cucu tapi tidak mendapat pendedahan mencukupi mengenai keselamatan digital, menyebabkan mereka lebih mudah menjadi sasaran sindiket penipuan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, sikap masyarakat yang cenderung bersangka baik terhadap orang lain juga boleh dimanipulasi scammer untuk mendapatkan kepercayaan mangsa.
Rahmat Fitri menegaskan, golongan warga emas perlu memahami bahawa apa yang dilihat di media sosial tidak semestinya benar termasuk komen yang kelihatan seperti testimoni kejayaan.
Menurutnya, taktik lazim dalam penipuan pelaburan ialah menawarkan pulangan dalam tempoh terlalu singkat, termasuk sehari, seminggu atau sebulan.
“Paling jelas ialah apabila sesuatu pelaburan menjanjikan pulangan dalam tempoh terlalu singkat. Malah jika dijanjikan pulangan setiap hari atau setiap bulan, tinggalkan tawaran itu.
Rahmat Fitri berkata, scammer juga menggunakan bukti palsu bagi meyakinkan mangsa termasuk menunjukkan rakaman transaksi atau individu lain yang kononnya sudah menerima keuntungan.
Menurutnya, wang yang diberikan kepada mangsa pada peringkat awal boleh menjadi sebahagian daripada strategi untuk membina kepercayaan sebelum mangsa dipujuk memasukkan jumlah pelaburan lebih besar.
Rahmat Fitri menegaskan, keluarga memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian manipulasi berkenaan lebih awal dengan memastikan ibu bapa sentiasa diberikan pendedahan mengenai keselamatan digital dan modus operandi penipuan.
“Anak-anak juga perlu mengambil tahu aktiviti digital ibu bapa dan melakukan pemeriksaan secara berkala. Namun, perkara itu perlu dilakukan dengan berhati-hati serta menghormati privasi mereka," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, keluarga tidak membiarkan ibu bapa berasa sunyi atau kurang mendapat perhatian kerana keadaan itu boleh menyebabkan mereka lebih mudah mencari sokongan, hubungan atau kepercayaan daripada individu tidak dikenali di media sosial.
“Apa yang penting, keluarga perlu menjadi benteng pertama dalam melindungi warga emas daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.