SHAH ALAM - Sapaan hampir setiap hari, kata lembut dan ungkapan ‘saya sayang puan’ menyebabkan wanita yang kehilangan suami lapan tahun lalu tertarik dengan lelaki baru dikenalinya di Facebook.
Wanita yang hanya mahu dipanggil sebagai Roziah, 60-an, berkata, perkenalan itu bermula selepas dia menerima permintaan menjadi rakan daripada individu berkenaan yang beberapa kali menghantar mesej bertanyakan khabar.
Menurutnya, lelaki tersebut kemudian menunjukkan gambar seorang kanak-kanak yang didakwa anak sebelum memberitahu sudah berpisah dengan isteri dan mahu mengenali Roziah lebih dekat.
“Dia kata, ‘saya ingin berkenalan, siapakah puan? Saya memang berminat dengan puan, saya sayang dengan puan’.
“Saya tengok muka dia macam handsome, cara bercakap pula sopan dan lembut,” katanya.
Roziah berkata, hubungan mereka semakin meyakinkan apabila lelaki yang berasal dari Malaysia dan mendakwa bekerja sebagai jurutera di luar negara itu menawarkan untuk memberikan hadiah dan wang kepadanya.
Katanya, lelaki itu menggunakan gambar yang kelihatan muda dengan penampilan menarik seperti golongan berada.
Bagaimanapun, Roziah mengakui dia berasa malu untuk menceritakan hubungan berkenaan kepada anak-anak kerana bimbang disalah anggap.
Sebaliknya, dia memilih berkongsi perkara itu dengan seorang rakan yang kemudiannya memberi amaran bahawa lelaki tersebut berkemungkinan scammer.
Sementara itu, seorang pengguna Threads menggunakan nama Kaishin meluahkan kebimbangan selepas mendakwa bapanya sudah menyerahkan RM28,000 kepada seorang wanita yang dikenali secara dalam talian sebagai syarat mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, bapa yang juga warga emas tinggal di Selangor manakala wanita berkenaan menetap di Johor Bahru dengan status bujang.
“Sekarang dia bukan setakat tak percaya kami anak-anak, malah tetap nak berkahwin dengan perempuan itu,” tulisnya.
Tangkap layar perbualan yang dikongsikan menunjukkan beberapa dokumen perlu disediakan termasuk laporan kesihatan dan pengesahan berkaitan urusan pernikahan.
Mesej sama, wanita berkenaan mendesak supaya usaha mendapatkan baki RM2,000 diteruskan dengan meminjam daripada rakan warga emas itu.
“Selepas diviralkan, pemilik gambar (wanita) tampil membuat laporan polis mengatakan gambar dia telah disalahgunakan oleh scammer untuk menipu ayah saya.
“Saya tunjukkan laporan polis itu kepada ayah dan bawa ke balai untuk buat laporan sebagai mangsa love scam,” katanya.
Tak guna telefon pintar, duit warga emas lesap dari akaun bank
GEORGE TOWN – Seorang warga emas mempersoalkan kehilangan RM32,888 daripada akaun banknya menerusi beberapa transaksi, sedangkan dia tidak menggunakan telefon pintar atau perbankan dalam talian.
Bekas pekerja kilang, Zakaria Mat, 77, berkata, kehilangan itu hanya disedari pada Mei 2023 apabila salah seorang anaknya membantu mengeluarkan wang bagi kegunaan harian serta urusan pembelian rumah.
Menurutnya, jumlah simpanan sebelum kejadian sebanyak RM63,140 namun baki yang tinggal ketika diperiksa hanya RM30,252.
Zakaria berkata, sebelum kehilangan itu disedari, dia pernah pergi seorang diri ke sebuah bank pada Februari 2023 untuk mengeluarkan wang bagi urusan berkaitan pembelian rumah.
"Ketika di kaunter, seorang kakitangan bank menawarkan kepadanya perkhidmatan insurans.
“Saya tidak ingat secara terperinci apa yang berlaku ketika itu, tetapi saya tidak ingat mengisi borang atau menandatangani permohonan insurans,” ujarnya.
Menurut Zakaria, penyata akaun menunjukkan beberapa transaksi dalam jumlah tertentu termasuk RM1,500 dan RM3,000 yang didakwa tidak pernah dilakukannya.
Anaknya, Elly Zuhaily, 40-an, berkata, keluarga bertindak menukar kad bank bapa sebaik menyedari kehilangan itu bagi elak transaksi lain berlaku.
Menurutnya, dua laporan polis dibuat di Sik dan Kulim pada 2023 selain aduan dikemukakan kepada pihak bank bagi mendapatkan penjelasan mengenai transaksi berkenaan.
Katanya, selepas hampir tiga tahun, keluarga masih mengharapkan penjelasan mengenai punca kehilangan wang tersebut dan bagaimana transaksi yang dipertikaikan boleh berlaku.
“Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak. Kami cuma mahu tahu apa sebenarnya berlaku kepada wang ayah.
"Kami sekeluarga agak terkilan apabila pihak bank tidak mahu bertanggungjawab dengan masalah ini. Mungkin nilai wang yang 'hilang' itu kecil bagi sesetengah pihak tetapi bagi ayah, wang itu amat besar nilainya kerana ia hasil titik peluhnya sendiri," katanya.