TAWAU - Seorang pekerja kedai kopi direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol teman wanitanya yang juga pelajar berusia 14 tahun pada September lalu.
Perintah reman sehingga 19 Oktober itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap suspek berusia 18 tahun selepas mendengar permohonan polis dan rayuan peguam bela.
Sebelum itu, Pegawai Penyiasat, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri memohon reman tujuh hari terhadap suspek bagi siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili suspek, Nur Fadhilah Najihah Amir merayu tempoh tahanan reman dikurang dengan alasan anak guamnya masih remaja yang kini bekerja bersama neneknya di sebuah kedai kopi di daerah ini dan akan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Menurut peguam berkenaan, suspek dan mangsa merupakan pasangan kekasih dan mendakwa anak guamnya tidak berniat menyakiti remaja perempuan itu.
Selepas mendengar permohonan dan rayuan, mahkamah kemudian menetapkan lima hari tempoh tahanan reman terhadap suspek.
Berdasarkan keterangan kes, ibu mangsa mengesyaki anak perempuannya melakukan hubungan seks dengan suspek selepas menemukan kondom terpakai di dalam bilik tidur anaknya pada 8 Oktober lalu.
Keesokan harinya, ibu mangsa menemukan satu lagi kondom yang dan pelincir di dalam beg sekolah anaknya.
Remaja perempuan itu kemudian mengakui sudah melakukan hubungan seks sebanyak satu kali dengan suspek yang juga teman lelakinya pada 26 September lalu.
Susulan kejadian itu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek pada Selasa.