Saman fitnah Rita Rudaini: Dua pemimpin MUAFAKAT MRSM kemuka 22 kenyataan dipertikai

Iklan
Dr Roslan dan Dr Saidah bersama peguam, Adnan Sharida & Associates yang mewakili mereka.

KUALA LUMPUR - Dua pemimpin MUAFAKAT Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar (Ulul Albab) memulakan usaha membuktikan dakwaan fitnah terhadap pelakon Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar berhubung 22 kenyataan yang didakwa menjejaskan reputasi mereka.

Perbicaraan penuh saman itu bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, Rabu, dengan pihak plaintif dijangka mengemukakan keterangan berhubung penerbitan hantaran di Instagram dan WhatsApp serta kenyataan yang kemudiannya dilaporkan media.

Iklan
Iklan

Saman berkenaan difailkan oleh Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor selaku plaintif pertama dan Dr Saidah Haris @ Harith selaku plaintif kedua, manakala Rita ialah defendan dalam tindakan berkenaan.

Menurut Pernyataan Tuntutan, 22 kenyataan yang dipertikaikan itu didakwa mengandungi perkataan dan gambaran yang memfitnah kedua-dua plaintif, khususnya berkaitan kepimpinan MUAFAKAT, integriti pentadbiran, profesionalisme serta kredibiliti mereka.

Iklan

Antara ungkapan yang dipertikaikan ialah “narcisis”, “psychopath”, “saiko”, “gila jawatan” dan “mental”, yang menurut plaintif bukan sekadar kritikan terhadap pengurusan persatuan, sebaliknya didakwa menyerang peribadi serta menjatuhkan maruah mereka.

Mohd Roslan mendakwa kenyataan berkenaan turut memberi kesan terhadap reputasinya sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Setiausaha Persatuan Ulama’ Malaysia dan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).

Iklan

“Kenyataan yang dibuat terhadap saya sangat teruk. Ia bukan sahaja menyentuh kedudukan saya dalam MUAFAKAT, tetapi turut memberi kesan kepada imej saya sebagai seorang pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, sebagai Setiausaha Persatuan Ulama’ Malaysia dan sebagai presiden sebuah NGO, Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR),” katanya.

Beliau mendakwa kenyataan yang dipertikaikan itu menggambarkannya sebagai individu yang mempunyai sifat negatif serta pemimpin yang gagal melaksanakan tanggungjawab dalam MUAFAKAT MRSM Sungai Besar.

Sementara itu, Saidah mendakwa kenyataan berkaitan dirinya membawa gambaran bahawa beliau mempunyai niat buruk, penuh kebencian dan iri hati, bersikap talam dua muka serta tidak bijak membuat keputusan.

Saidah yang merupakan pensyarah akademik di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh turut mempertikaikan dakwaan yang menurutnya menjejaskan imej profesional dan kredibilitinya.

Kedua-dua plaintif turut menegaskan bahawa dakwaan mengenai kegagalan kepimpinan MUAFAKAT menjalankan tanggungjawab perlu dinilai berdasarkan rekod aktiviti serta program yang dilaksanakan sepanjang 2025.

Menurut Pernyataan Tuntutan, program berkenaan merangkumi pembentangan laporan kewangan, perbincangan Tabung Infaq, cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), program motivasi akademik, aktiviti hafazan al-Quran dan sesi dialog bersama ibu bapa.

Mereka turut mendakwa defendan menerbitkan kenyataan berkenaan dengan niat jahat, secara melulu dan tanpa asas bukti yang kukuh, selain tidak mendapatkan pengesahan daripada mereka terlebih dahulu sebelum penerbitan dibuat.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih perlu dinilai berdasarkan keterangan, dokumen dan hujahan pihak-pihak sepanjang perbicaraan.

Dalam saman itu, plaintif memohon antaranya perintah injunksi, pemadaman kenyataan yang dipertikaikan serta permohonan maaf secara bertulis dan video yang disiarkan di media sosial selama tiga bulan.

Mereka turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi pengajaran secara berasingan.

Perbicaraan dijadual berlangsung selama sembilan hari, iaitu pada 14 hingga 16 Oktober, 2 November, 4 hingga 6 November serta 11 dan 12 November 2026.

Pihak plaintif dijangka memanggil tiga saksi sepina, manakala pihak defendan dijangka mengemukakan tiga saksi.

Mahkamah akan menilai keterangan dan hujahan kedua-dua pihak sebelum menentukan sama ada kenyataan yang dipertikaikan memenuhi unsur fitnah di sisi undang-undang, sama ada pembelaan yang dikemukakan mempunyai merit serta sama ada plaintif berhak memperoleh relif yang dituntut.