Najib ke penjara semula jika gagal tangguh hukuman 1MDB selepas 2028

Iklan
Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Meskipun telah mendapat pengampunan bersyarat berhubung baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu kembali ke penjara untuk menjalani hukuman berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, perkara berkenaan hanya akan berlaku sekiranya Najib, 73, gagal mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu selepas tempoh hukuman bagi kes SRC International berakhir pada 2028.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman 1MDB tidak menjejaskan pelaksanaan perintah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International.

"Najib boleh menjalani baki hukuman penjara berkaitan kes SRC International di bawah tahanan rumah selepas membayar denda RM50 juta, tertakluk kepada terma dan syarat perintah berkenaan," katanya pada sidang media di sini.

Iklan

Pada 18 September lalu, bekas pemimpin UMNO itu mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Muhammad Shafee turut mengesahkan Najib sudah menerima perintah Yang di-Pertuan Agong berkaitan tahanan rumah, termasuk lampiran yang mengandungi syarat dan mekanisme pelaksanaannya.

Iklan

“Lokasi tahanan rumah itu ialah di kediaman Najib di Langgak Duta dan beliau boleh tinggal bersama keluarganya,” kata peguam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak pembelaan tidak boleh mendedahkan kandungan perintah itu kerana pihak penjara meminta mereka berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda kira-kira RM11.38 bilion dalam kes 1MDB.

Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi syarat keadaan khas dan luar biasa yang diperlukan bagi membolehkan penangguhan diberikan.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun pada 26 Disember 2025 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram pula antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Mahkamah menetapkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan, manakala hukuman penjara lima tahun dikenakan bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International di Penjara Kajang.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan Najib membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan, beliau boleh dipenjara selama 10 tahun bagi setiap kes rasuah terbabit.