KUALA PILAH - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah bahawa adat tidak boleh dipertahankan dengan melanggar aturan adat itu sendiri.
Baginda bertitah, tindakan pihak tertentu sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga menimbulkan pertikaian terhadap aturan warisan atas alasan mempertahankan adat berisiko menjejaskan kewibawaan institusi adat dan istana.
"Ia juga boleh menggugat kestabilan negeri serta menghakis kepercayaan rakyat.
"Sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta mestilah diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan, bukannya mengikut kepentingan atau kehendak peribadi," titahnya ketika Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu Ke-17 di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Rabu.
Tuanku Muhriz bertitah, sistem adat hendaklah terus diperkukuh agar kekal relevan dengan perkembangan zaman, tanpa mengabaikan prinsip dan aturan yang menjadi asasnya.
"Dalam konteks Negeri Sembilan, Adat Perpatih dan peruntukan undang-undang menjadi asas kedudukan serta pewarisan takhta, manakala institusi adat yang melibatkan Undang Yang Empat, Lembaga, Ibu Soko, Buapak dan anak buah merupakan warisan turun-temurun yang penting dalam memelihara adat dan menjamin kestabilan negeri.
Namun, baginda bertitah, kewibawaan institusi Raja bergantung pada penghormatan terhadap adat, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Titahnya lagi, kedudukan Raja yang tinggi dan mulia datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar, manakala kepercayaan rakyat pula merupakan asas penting bagi memastikan institusi ini terus dihormati dan dipelihara.
"Bak kata pepatah Melayu, 'Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah', keadilan dan integriti hendaklah sentiasa menjadi asas kepimpinan.
"Jadikanlah sejarah sebagai pedoman dan iktibar, janganlah kepentingan diri mengatasi kebenaran dan keadilan sehingga keselamatan, kesejahteraan serta warisan yang dipelihara turun-temurun menjadi korban," titah baginda.
Selain itu, baginda turut mengingatkan bahawa adat bukan sekadar warisan untuk dibanggakan, tetapi amanah yang wajib dipelihara dan dipertahankan dengan penuh tanggungjawab.
Titah Tuanku Muhriz, masa depan dan kestabilan Negeri Sembilan bergantung pada kesediaan semua untuk menghormati adat, mematuhi undang-undang dan meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi demi generasi akan datang.
Dalam pada itu, pada majlis istiadat berkenaan, baginda berkenan menerima penzahiran kejadian Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Jelebu Ke-17 yang membawa gelaran Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman.
Tuanku Muhriz bertitah, pelantikan itu merupakan kesinambungan kepimpinan adat selain mencerminkan kelangsungan warisan dan tradisi yang sekian lama menjadi pegangan masyarakat di Luak Jelebu.
Titah baginda, keharmonian adat serta kesejahteraan anak buah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, manakala sebarang perselisihan atau permasalahan perlu ditangani secara adil, matang dan berhemah.
“Dalam menjalankan tugas, Orang Kaya Beta hendaklah berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta ketetapan dan peraturan adat yang berkuat kuasa di Jelebu,” titah baginda.