Tuanku Muhriz perkenan zahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17

Iklan
Tuanku Muhriz menerima menghadap Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah

KUALA PILAH - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 pada Rabu.

Majlis Istiadat Penzahiran Kejadian pengurus kanan sebuah syarikat telekomunikasi berusia 51 tahun itu sebagai Undang Luak Jelebu dibuat dalam majlis istiadat menghadap baginda di Istana Besar Seri Menanti.

Iklan
Iklan

Turut berkenan menyaksikan Istiadat Menghadap itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al- 'Abidin Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, manakala Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak hadir

Iklan

Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana tampil menghadap Tuanku Muhriz bagi perkenan memulakan istiadat sebelum Undang Luak Jelebu menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda.

Azrin berikrar dan berjanji akan memelihara keluhuran Adat Perpatih dan melaksanakan amanah sebagai Undang Luak Jelebu dengan penuh tanggungjawab beradat dan beradab demi keharmonian Luak Jelebu dan kesejahteraan Negeri Sembilan.

Iklan

Kemudiannya diikuti titah Tuanku Muhriz dan diakhiri bacaan doa oleh Timbalan Mufti Negeri Sembilan dan disusuli dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan.

Terdahulu, pada istiadat berkenaan, Azrin dan isteri, Datin Norazizan Mamat diarak dengan diiringi kira-kira 100 anggota rombongan ke Istana Besar Seri Menanti sambil membawa barang adat istiadat.

Azrin dimasyhurkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 menggantikan Datuk Maarof Mat Rashad yang diumumkan telah terlucut mengikut adat dan tradisi Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.

Beliau mempunyai kelulusan tertinggi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, merupakan anak sulung daripada lima beradik daripada Suku Biduanda Waris Berundang.

Beliau sebelum ini menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' daripada Sultan Pahang pada 28 Mac 2012.