SEREMBAN - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan akan beroperasi seperti biasa pada Khamis (15 Oktober 2026).
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan berkata, ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak-anak akibat keadaan jerebu boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan memaklumkan ketidakhadiran tersebut kepada pihak sekolah.
Menurutnya, pihak sekolah hendaklah sentiasa memantau kualiti udara, mematuhi garis panduan yang berkuat kuasa serta mengambil langkah sewajarnya.
"Ia bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.
"Selaras dengan ketetapan Surat Siaran Bilangan 1 Tahun 2019, semua aktiviti luar bilik darjah seperti pendidikan jasmani, aktiviti kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka hendaklah dihentikan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, murid turut disarankan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan, khususnya bagi mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko.
Tambahnya, JPNS akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat sebarang perubahan.
"Ibu bapa dan penjaga diminta mengikuti saluran rasmi JPNS untuk mendapatkan maklumat terkini," katanya.