SEPANG - Sebuah pesawat komersial yang membawa ratusan penumpang 'terhempas' dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Rabu.
Sepasukan anggota penyelamat daripada 24 agensi kerajaan kemudian dikejarkan ke lokasi antaranya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Lebih dramatik, insiden kira-kira jam 10.30 pagi di Landasan 2 itu menyaksikan kebakaran yang meletus selain penumpang pesawat yang cedera.
Mangsa kemudian ditempatkan di satu kawasan untuk rawatan awal, manakala petugas penyelamat dan penyiasat meneruskan siasatan di lokasi kejadian.
Namun ia sebenarnya ialah simulasi Ex Perisai Panthera 2026 sebagai pemerhati, menyaksikan kesiapsiagaan dan penyelarasan tindak balas kecemasan di KLIA.
Penglibatan pelbagai agensi ini menguji keupayaan semua pihak untuk bertindak sebagai satu pasukan dalam menguruskan situasi kecemasan kompleks di aerodrom.
Simulasi itu turut menyaksikan kehadiran pertama kalilima organisasi lapangan terbang antarabangsa menyertai iaitu Maldives Airports Co, Oman Airports, Tibah Airports Operation Co, Jeddah Airports serta Changi Airport Group.
Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang & Operasi KLIA, Abd Hasman Abd Muhimim berkata, keselamatan penumpang, warga kerja dan seluruh komuniti lapangan terbang sentiasa menjadi teras utama KLIA.
"Usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan KLIA kekal sebagai hab penerbangan yang selamat, cekap dan berdaya tahan serta bersedia menghadapi sebarang cabaran," katanya.
Beliau berkata, senario latihan melibatkan sebuah pesawat komersial dengan 209 penumpang dan anak kapal yang mengalami kerosakan enjin akibat rempuhan burung sebelum terbabas di landasan ketika mendarat.
Katanya, berdasarkan Pelan Kecemasan Aerodrom KUL (KUL AEP), senario ini menguji tindak balas menyelamat, pengurusan mangsa, pemindahan perubatan udara serta komunikasi dan koordinasi antara agensi.
"Antara keupayaan utama yang diuji ialah pengaktifan pusat kawalan dan tindak balas utama, Terminal Emergency Centre (TEC), Family and Friends Reception Centre (FFRC) dan Family and Friends Holding Area (FFHA) dalam tempoh sasaran 30 minit.
Tambahnya, simulasi sebegini perlu diadakan setiap dua tahun.
"Kita lihat semua objektif kita sasarkan ini berjaya, namun berlaku permasalahan kecil dan ia satu cabaran yang dikenal pasti dalam meningkatkan kesiapsiagaan di masa akan datang," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, latihan ini patut diadakan bagi menguji kecekapan dan keberkesanan serta kepantasan pasukan keselamatan bertindak sekiranya berlaku insiden sedemikian.