SINGAPURA – Dua lelaki ditahan pada Isnin kerana disyaki mencuri kad bank daripada beg milik dua penumpang yang disimpan di ruang bagasi atas dalam penerbangan dari Ho Chi Minh City ke Singapura.
Kedua-dua lelaki warga China berusia 54 dan 59 tahun itu ditahan di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi kira-kira jam 9.45 pagi dalam satu operasi membanteras kegiatan kecurian dalam pesawat.
Polis berkata, tiga kad bank yang bukan milik mereka ditemukan bersama kedua-dua lelaki berkenaan.
Siasatan mendapati setiap lelaki itu dipercayai mengambil kad bank daripada beg milik penumpang yang berbeza ketika penerbangan berkenaan.
Kedua-dua penumpang terbabit menyimpan beg masing-masing di ruang bagasi atas dan tidak menyedari kad bank mereka hilang ketika meninggalkan pesawat.
Kedua-dua lelaki itu akan didakwa pada Rabu atas kesalahan mencuri dalam pesawat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Polis menasihatkan penumpang supaya menyimpan wang tunai dan barang berharga bersama mereka berbanding meletakkannya di ruang bagasi atas.
Penumpang juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap individu yang membuka ruang bagasi atas dan menyelongkar beg sepanjang penerbangan, selain memaklumkan kepada kru kabin sekiranya mengesan sebarang tingkah laku mencurigakan.