PENDEDAHAN mengenai isu ejekan fizikal dan warna kulit yang membawa kepada keputusan mangsa berpindah sekolah membuka ruang analisis mendalam terhadap ekosistem buli siber di kalangan remaja hari ini.
Isu ini tidak boleh dilihat secara sehala sahaja, ia melibatkan dinamik kompleks antara kesihatan mental mangsa, tahap kesedaran rakan sebaya, punca psikologi pembuli, serta peranan penyedia platform media sosial dan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Dari sudut pandang mangsa, penanda awal seperti perubahan tingkah laku daripada periang kepada pendiam, ketidakhadiran ke sekolah dan kecenderungan menyembunyikan fizikal diri menuntut kepekaan tinggi daripada persekitaran terdekat.
Meskipun inisiatif rakan sebaya bertindak sebagai pendengar dan pelindung amat dipuji, kebergantungan penuh kepada sokongan emosi rakan sebaya tanpa campur tangan profesional berkemungkinan tidak mencukupi untuk memulihkan trauma jangka panjang.
Dari perspektif pembuli, tingkah laku mengejek fizikal dan warna kulit sering bermula daripada andaian sebahagian remaja bahawa perbuatan tersebut sekadar 'gurauan biasa' tanpa menyedari dampak emosi mendalam terhadap mangsa.
Malah, perkembangan teknologi AI yang memudahkan penyuntingan gambar tanpa kebenaran telah memperluas skop jenayah siber ini, sekali gus menunjukkan wujudnya jurang literasi etika digital yang ketara dalam kalangan generasi muda.
Pihak sekolah dan ibu bapa pula berdepan cabaran dalam mengesan buli siber kerana ia berlaku di ruang digital persendirian yang sukar dipantau berbanding buli fizikal di kawasan persekolahan.
Oleh itu, penanganan isu ini memerlukan pelan tindakan tuntas dan holistik daripada pelbagai pihak bagi membendung fenomena ini daripada terus berakar umbi.
Pertama, pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah perlu mewujudkan mekanimse aduan siber yang selamat dan sulit, disokong oleh modul kaunseling khas untuk memulihkan keyakinan diri mangsa serta membimbing pembuli.
Kedua, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dengan mengamalkan keibubapaan digital, merangkumi pemantauan penggunaan media sosial dan pemupukan empati sejak di rumah.
Ketiga, penguatkuasaan etika dan undang-undang perlu diperketat, merangkumi kerjasama bersama penyedia platform media sosial untuk menurunkan kandungan berunsur gangguan serta akaun AI palsu dengan kadar segera.
Keempat, program literasi digital dan etika AI perlu diserapkan secara menyeluruh dalam kokurikulum sekolah bagi mendidik pelajar mengenai implikasi perundangan dan moral perbuatan buli siber.
Kelima, rakan sebaya wajar terus diperkasa sebagai 'duta siber' yang terlatih untuk menyimpan bukti, melaporkan kejadian, serta menyalurkan sokongan awal tanpa meletakkan diri mereka dalam risiko.
Secara keseluruhannya, menangani buli siber memerlukan penglibatan seimbang daripada semua pihak, bukan sekadar merawat simpati kepada mangsa, tetapi memperbetul minda pelaku dan menyediakan persekitaran digital yang selamat.