Warna kulit jadi bahan buli siber

Iklan
Ejekan, penghinaan dan penyebaran kandungan memalukan boleh menjejaskan emosi, keyakinan serta kehidupan sosial mangsa.

INTERNET selamat bukan sekadar melindungi pengguna daripada penipuan, pautan berbahaya atau pencerobohan data tetapi turut merangkumi keupayaan mengenal, menolak dan bertindak terhadap buli siber.

Dalam kalangan remaja, ejekan, penghinaan dan penyebaran kandungan memalukan boleh menjejaskan emosi, keyakinan serta kehidupan sosial mangsa.

Iklan
Iklan

Namun kesedaran digital yang semakin meningkat mendorong rakan sebaya tampil memberi sokongan, menyimpan bukti, membuat laporan dan membantu mangsa mendapatkan pertolongan.

Ikuti laporan khas Sinar Harian mengenai bagaimana kesedaran internet selamat membentuk tindakan remaja dalam menghadapi buli siber.

Iklan

SHAH ALAM – Perubahan seorang rakan daripada periang dan yakin kepada pendiam serta kerap tidak hadir ke sekolah menjadi tanda awal yang mendorong sekumpulan remaja mendekatinya selepas mengetahui dia menjadi mangsa buli siber.

Remaja yang mahu dikenali sebagai Nur, 17, berkata, rakannya itu berdepan kecaman di media sosial termasuk komen negatif dan gelaran berkaitan warna kulit, selain kandungan bergambar yang memalukan.

Iklan

Menurutnya, mereka tidak menunggu mangsa tampil meminta pertolongan kerana perubahan tingkah laku yang ketara sudah menunjukkan sesuatu sedang berlaku.

“Dia seorang yang agak yakin dengan diri sendiri tetapi selepas menerima kecaman di media sosial, kami dapat nampak perubahan pada dirinya.

“Ada ketika dia tidak datang ke sekolah dan kelihatan murung. Jadi, kami rasa memang ada sesuatu yang berlaku dan tidak boleh hanya tunggu dia datang cerita kepada kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nur, pendekatan paling mudah dilakukan ialah menghantar mesej dan bertanya keadaan rakannya supaya mangsa tahu masih ada individu yang mengambil berat.

“Biasanya kami mesej dan tanya, ‘You okay ke?’ atau cuba ambil tahu keadaan dia.

“Kadang-kadang dia mungkin malu untuk reach out kepada kita. Jadi, kita yang kena reach out kepada dia dahulu,” ujarnya.

Nur berkata, mangsa buli siber mungkin berasa malu atau takut untuk berkongsi apabila gambar, video mahupun komen yang menghina dirinya sudah tersebar kepada orang ramai.

Justeru, katanya, rakan sebaya perlu peka sekiranya seseorang yang sebelumnya aktif dan banyak bercakap tiba-tiba menjadi pendiam, menjauhkan diri atau menunjukkan perubahan ketara.

Menurutnya, teknologi kecerdasan buatan (AI) turut menimbulkan kebimbangan kerana gambar seseorang boleh disunting sebelum disebarkan sehingga membuka ruang kepada penghinaan terhadap fizikal atau penampilan.

Ujarnya lagi, tindakan kecil seperti bertanya khabar mampu memberi ruang kepada mangsa untuk bercerita apabila sudah bersedia.

Sekiranya keadaan menjadi lebih serius, rakan boleh membantu mendapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru atau individu dipercayai.

“Sebagai kawan, kita mungkin tidak dapat selesaikan semuanya, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh berada di sisi dia,” katanya.

Nur menegaskan, kecaman terhadap warna kulit atau penampilan fizikal tidak seharusnya dinormalisasikan atas alasan gurauan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan diri mangsa.