SUDAH berpuluh tahun isu jerebu rentas sempadan menghantui rantau ini tetapi kita masih terpaksa bercakap tentang perkara yang sama. Tiada apa yang berubah. Pembakaran hutan bagi tujuan pertanian masih berlaku di Indonesia saban tahun.
Malaysia pernah berdepan episod jerebu teruk pada 1997, 2015, 2019 dan kini 2026. Malah, keadaan di Bahagian Serian, Sarawak pernah mencapai tahap serius sehingga darurat bencana jerebu diisytiharkan pada 4 September lalu, susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500.
Bayangkan, apabila kualiti udara mencapai tahap sedemikian, kesannya bukan lagi sekadar langit kelabu atau bau asap yang mengganggu hidung. Ia soal kesihatan awam.
Sekolah terpaksa ditutup, kanak-kanak perlu kurangkan aktiviti luar, pesakit asma perlu lebih berhati-hati, manakala warga emas turut berdepan risiko.
Namun, ketika orang ramai semakin bimbang terhadap kualiti udara, timbul pula beberapa kenyataan dari negara jiran yang mengundang reaksi kurang senang.
Antaranya, kata-kata sinis bahawa Indonesia bukan sahaja menghantar asap, malah turut membekalkan oksigen kepada Malaysia dan Singapura menerusi hutannya yang banyak.
Ada juga yang mendakwa jerebu hanyalah fenomena alam semula jadi dan bukannya berpunca daripada kecuaian manusia semata-mata.
Mungkin kata-kata itu sekadar gurauan tetapi ketika rakyat sedang resah akibat jerebu, tidak perlulah mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati jiran.
Merak Jalanan cuma nak ingatkan jerebu rentas sempadan bukan masalah bermusim yang perlu kita biasakan setiap tahun. Ia masalah yang sepatutnya semakin jarang berlaku, bukannya terus berulang-ulang.