MENJANGKAU empat tahun pentadbiran Kerajaan Madani, Merak Jalanan seronok tengok ramai bakat pemimpin muda Generasi Z yang mula menyerlah di persada politik tanah air.
Nama-nama seperti Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, Ummi Umairah Bakhit, Farzana Hayani Mohd Nasir, Neow Choo Seong dan Amira Aisya Abdul Aziz antara wajah baharu yang berani tampil menyuarakan pandangan serta membawa aspirasi generasi muda.
Merak Jalanan melihat perkembangan ini petanda positif. Politik negara tidak seharusnya terus dimonopoli ahli-ahli politik dinasour kerana anak muda juga berhak menawarkan idea, kritikan dan pendekatan baharu.
Namun dalam keterujaan melihat ini, Merak Jalanan mendapat cerita ada antara mereka yang mudah koyak apabila berdepan kecaman warganet.
Lebih menarik, ada pula yang mula menuding jari kepada media arus perdana apabila kandungan media sosial memaparkan kenyataan perjuangan mereka dibanjiri komen negatif.
Aik, bukankah sebelum ini begitu bersemangat mahu bersuara dan mengubah landskap politik?
Hakikatnya, politik bukan pentas mencari tepukan gemuruh. Kalau mahu menjadi pemimpin, bersedialah menerima pujian, kritikan, sindiran malah kecaman.
Jangan hanya mahu mikrofon ketika berucap, tetapi tuntut konten kontroversi diturunkan apabila orang mula mengkritik.
Merak Jalanan percaya pemimpin muda perlu belajar membezakan kritikan dengan serangan peribadi. Jawablah dengan hujah, bukan emosi.
Kalau sanjungan sahaja dicari, lebih baik jadi pempengaruh. Kalau mahu jadi pemimpin, belajarlah menerima realiti bukan semua orang akan bersetuju dengan kita!