Demi wang insurans, wanita didakwa upah pembunuh bunuh adik kandung

Iklan
Dalam prosiding di Mahkamah Negeri Kabanjahe, pendakwa raya menuntut hukuman mati terhadap kedua-dua tertuduh. Foto: Agensi gambar hiasan

JAKARTA- Seorang wanita di Kabupaten Karo, Sumatera Utara, didakwa mengupah seorang lelaki untuk membunuh adik kandungnya sendiri bagi mendapatkan wang tuntutan insurans.

Tetty Uli Simanjuntak, 42, dan lelaki yang didakwa menjadi pembunuh upahan, Lusper Napitupulu, 57, berdepan tuntutan hukuman mati atas kesalahan pembunuhan terancang.

Iklan
Iklan

Menurut laporan detikSumut, rancangan pembunuhan itu bermula pada September 2025 apabila Tetty mengadu kepada Lusper bahawa adiknya, Iwan Sudarto Simanjuntak, 33, sering meminta wang dan memakinya apabila permintaan tidak dipenuhi.

Pada 11 Januari 2026, kedua-duanya bertemu di sebuah kedai kopi di Medan untuk membincangkan rancangan berkenaan sebelum bergerak menjemput mangsa beberapa hari kemudian.

Iklan

Pada 17 Januari, Tetty dan Lusper menuju ke kawasan Karo untuk menjemput Iwan. Dalam perjalanan pulang ke arah Medan, mangsa tertidur di tempat duduk tengah kereta.

Sekitar jam 3 pagi waktu tempatan pada 18 Januari, Lusper didakwa memberhentikan kereta di jalan sunyi sebelum memukul mangsa berulang kali menggunakan kayu ketika mangsa sedang tidur.

Iklan

Mayat Iwan kemudian dibuang di tepi jalan di Desa Kineppen, Kecamatan Munte, Kabupaten Karo.

Penduduk menemui mayat itu sekitar jam 3.45 pagi waktu tempatan dan melaporkannya kepada polis.

Pendakwaan mendakwa Tetty menjanjikan bayaran 100 juta rupiah (RM22,853) kepada Lusper sekiranya pembunuhan itu berjaya dilakukan.

Bagaimanapun, Lusper dilaporkan hanya menerima 6 juta rupiah (RM1,370).

Ketika siasatan dijalankan, pihak polis menyatakan pembunuhan itu dipercayai dirancang lebih awal dan mempunyai kaitan dengan motif tuntutan insurans.

Dalam prosiding di Mahkamah Negeri Kabanjahe, pendakwa raya menuntut hukuman mati terhadap kedua-dua tertuduh atas dakwaan pembunuhan terancang.

Keputusan bagi kedua-dua kes dijadualkan dibacakan pada pertengahan Oktober 2026. Bagaimanapun, hukuman akhir bergantung kepada keputusan mahkamah. - Agensi