SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Filipina yang mempunyai rekod kesalahan dadah di negaranya dipercayai individu yang menyewa jet peribadi tempatan bagi menyeludup 521 kilogram (kg) dadah dari Laos ke Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mengenal pasti sindiket dan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan di Malaysia.
Menurutnya, sehingga kini, JSJN telah merakam percakapan beberapa orang saksi termasuk seorang individu warga Malaysia yang bertindak sebagai broker bagi menguruskan penyewaan pesawat tersebut.
"Individu tersebut mendedahkan pesawat berkenaan disewa oleh seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun yang dikenal pasti sebagai seorang bekas juruterbang dan mempunyai rekod kesalahan dadah di negara tersebut.
"Dapatan siasatan juga mendedahkan seorang wanita warga Filipina berusia 51 tahun turut terlibat dan dipercayai bertindak sebagai koordinator dalam sindiket ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas 521 kg dadah jenis kristal disyaki methamphetamine daripada sebuah jet persendirian yang tiba dari Subang.
Siasatan mendapati pesawat itu berlepas dari Subang tanpa membawa muatan sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira jam 11.30 pagi.
Kira-kira jam 1.30 tengah hari, dua kenderaan tiba membawa 23 beg yang kemudiannya dipindahkan ke dalam pesawat berkenaan.
Tambah Hussein, JSJN turut bekerjasama dengan Wisma Putra dan pihak Philippine Drug Enforcement Agency (PDEA) bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membantu dalam siasatan kes ini.
Jelasnya, sisatan kes ini dikendalikan Unit Siasatan Khas, JSJN Bukit Aman di bawah Seksyen 34 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu melakukan persubahatan atau perbuatan persediaan di Malaysia bagi kesalahan pengedaran dadah di luar negara.
"JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
"Dadah ialah musuh nombor satu negara dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-2087222," ujarnya.
7 Oktober lepas, seorang pemilik syarikat penerbangan peribadi warga tempatan antara empat ditahan JSJN Bukit Aman di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang bagi membantu siasatan kes.