SHAH ALAM - Suami tidak sepatutnya menggunakan kuasa rujuk untuk mengembalikan isteri ke dalam ikatan perkahwinan dengan niat meneruskan kezaliman terhadap wanita berkenaan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbuatan merujuk isteri dengan niat melakukan kemudaratan dan kezaliman jelas tidak dibenarkan oleh ALLAH SWT sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Baqarah, ayat 231.
“(Firman ALLAH SWT yang bermaksud) jangan sekali-kali kamu pegang ataupun ambil kembali isteri kamu, rujuk isteri kamu kembali dengan niat untuk melakukan kemudaratan dan kezaliman.
“Tidak sepatutnya berlaku kezaliman yang berterusan kepada isteri semata-mata suami menggunakan kuasa rujuk untuk mengembalikan isteri dia dalam ruang perkahwinan yang penuh dengan kezaliman,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di Threads.
Beliau berkata demikian ketika mengulas babak sebuah drama yang sedang menjadi bualan ramai, memaparkan watak Haris melafazkan rujuk sehari sebelum tempoh idah Zara tamat.
Menerusi hantaran yang mengiringi klip video tersebut, Mohd Na’im menyifatkan tindakan suami melafazkan rujuk pada detik akhir sebelum tempoh idah tamat dalam drama berkenaan sebagai helah licik menunggang agama.
Menurutnya, berdasarkan jalan cerita drama tersebut, kehidupan Zara penuh dengan tekanan emosi selain tidak mendapat perlindungan dan kasih sayang sebenar daripada Haris.
“Jadi Haris menggunakan tempoh idah tadi itu sebagai asas untuk meneruskan perkahwinan dan seterusnya untuk meneruskan sifat dendam dan perbuatan mudarat kepada Zara.
“Dan ini yang jelas telah ditegur dan tidak dibenarkan oleh ALLAH SWT dalam firman yang saya bacakan sebentar tadi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menjelaskan mengenai keperluan mendapatkan persetujuan isteri dalam soal rujuk bagi memastikan keadilan terhadap wanita berkenaan.
“Demi keadilan, persetujuan daripada isteri itu diperlukan dan ini telah dikanunkan dalam undang-undang.
“Jadi ayat yang saya bacakan tadi dan apa yang berlaku dalam babak ini memperlihatkan kepada kita bagaimana adilnya peruntukan undang-undang yang memerlukan persetujuan isteri tadi,” katanya.