KAJANG - Tiga lelaki bertopi keledar dengan senjata parang dan tukul besi diburu dalam kejadian samun kedai emas di sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan diterima pada jam 2.23 petang melibatkan tiga suspek yang melarikan diri menaiki dua motosikal.
"Jumlah kerugian akibat kejadian tersebut masih dalam siasatan.
"Pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Nabil Aizat di talian 013-6232 713 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek lengkap bertopi keledar berjalan pantas di ruang legar berhampiran eskalator, sebelum terus menuju ke premis kedai emas terbabit.