IOIPG REIT meterai perjanjian taja jamin bersama enam bank

Iklan
Majlis menandatangani perjanjian taja jamin antara IOIPG REIT bersama enam institusi kewangan pada Isnin.

IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) memeterai perjanjian taja jamin dengan enam institusi kewangan sebagai langkah penting ke arah penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia).

Enam institusi kewangan terbabit ialah Maybank Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd dan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

Perjanjian berkenaan dimeterai IOIPG REIT Management Sdb Bhd selaku pengurus pelaburan hartanah bersama penajanya, IOI Properties Group Bhd (IOIPG) dan MTrustee Bhd sebagai pemegang amanah

Perjanjian tersebut membabitkan taja jamin sebanyak 165 juta unit tawaran di bawah awam dan terhad yang tertakluk kepada peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG REIT Management, Chris Chong berkata, tawaran awam permulaan (IPO) itu membabitkan sehingga 2.2 bilion unit tawaran.

Menurut beliau, ia merangkumi tawaran runcit sebanyak 715.61 juta unit dan tawaran institusi sehingga 1.484 bilion unit.

Iklan

Tambahnya, tawaran runcit itu merangkumi 550.61 juta unit untuk pemegang saham IOIPG yang layak, berdasarkan satu unit tawaran terhad bagi setiap 10 saham biasa sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan.

“Sebanyak 55 juta unit lagi diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan pengurus serta IOIPG yang layak, selain rakan niaga IOIPG yang layak, manakala 110 juta unit ditawarkan kepada orang awam Malaysia, termasuk 55 juta unit yang dikhaskan untuk pelabur awam Bumiputera.

"Selepas penyenaraian, saiz keseluruhan unit IOIPG REIT dijangka berjumlah 5.5 bilion unit, dengan tawaran runcit mewakili kira-kira 13 peratus dan tawaran institusi sehingga 27 peratus daripada jumlah itu.

"Portfolio awal IOIPG REIT merangkumi sembilan aset hartanah di lokasi strategik di Selangor, pusat bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dengan nilai sekitar RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Portfolio berkenaan katanya, diterajui IOI City Mall, yang berfungsi sebagai pusat beli-belah terbesar di Malaysia dengan keluasan ruang boleh disewa bersih melebihi 2.5 juta kaki persegi.

Selain itu, turut terkandung dalam perkara tersebut ialah enam hotel di bawah rangkaian jenama Marriott International.

Enam hotel itu terdiri daripada Putrajaya Marriott Hotel, Le Meridien Putrajaya, Moxy Putrajaya, Four Points by Sheraton Puchong, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang dengan jumlah keseluruhan 1,920 bilik.

Aset lain ialah hartanah pejabat IOI City Towers dan PFCC Towers yang mempunyai keluasan ruang boleh disewa bersih gabungan kira-kira 1.83 juta kaki persegi.

Menurut Chong, pemeteraian perjanjian itu menjadi langkah penting dalam merealisasikan penyenaraian IOIPG REIT.

“Pertumbuhan sektor pelancongan negara dijangka menyokong prestasi aset runcit dan hotel dalam portfolio itu serta disokong permintaan domestik yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan pelancong.

"Industri pelancongan menyumbang RM323 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2025, bersamaan 15.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Manakala, ketibaan pelancong antarabangsa disasarkan mencapai 47 juta pada 2026 di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dilanjutkan hingga 2027," katanya.

Chong menambah, IOI City Towers dan PFCC Towers terletak di koridor pertumbuhan utama Putrajaya dan Puchong yang mencatatkan peningkatan kadar penghunian sejak 2022.

Katanya, asas pertumbuhan bagi aset runcit, hotel dan pejabat itu memberi keyakinan terhadap keupayaan IOIPG REIT menjana pendapatan berulang yang stabil untuk pemegang unitnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd, Michael Oh-Lau berkata, IOIPG REIT menawarkan peluang pelaburan menarik menerusi portfolio hartanah berkualiti yang dipelbagaikan.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd, Christopher Ng pula berkata kepelbagaian portfolio dan asas aset yang kukuh meletakkan IOIPG REIT pada kedudukan baik untuk menjana nilai jangka panjang kepada pemegang unit.

Sementara itu, Maybank Investment Bank dan AmInvestment Bank akan bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global, pengurus buku, pengurus pengunderaitan serta pengunderait bagi IPO berkenaan.

IOIPG REIT dijangka melancarkan prospektusnya pada suku keempat 2026 sebelum penyenaraian yang dicadangkan di Bursa Malaysia.