SEREMBAN – Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, pada Rabu.
Istiadat yang dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang itu akan disempurnakan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat sama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, diiringi Putera Yang Empat.
Berdasarkan atur cara istiadat, para jemputan akan mengambil tempat di Balairung Seri pada jam 2.30 petang, sebelum perarakan rombongan Undang Luak Jelebu ke balairung berkenaan pada jam 3 petang.
Pada 29 Ogos lalu media melaporkan, pengurus besar kanan sebuah syarikat telekomunikasi, Datuk Azrin Khairi,51 telah diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 pada satu majlis di Kampung Mengkan di Kuala Klawang, Jelebu.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Ismail Mohd Zin yang mengaku sebagai pemangku Undang luak berkenaan dengan gelaran Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari dalam istiadat rasmi serta beradat di Telapak Anak Waris Perut Ulu Jelebu.
Pelantikan Azrin adalah susulan jawatan Undang Luak Jelebu ke-16 yang disandang oleh Datuk Maarof Mat Rashad diumumkan telah terlucut mengikut adat dan tradisi Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.
Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dalam kenyataan pada 31 Julai lalu memaklumkan bahawa pihaknya menerima pendirian waris adat luak berkenaan untuk memecat penyandangnya.
DKU memaklumkan bahawa berdasarkan Perkara 15(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, kedudukan Undang Luak Jelebu secara automatik menjadi kosong selepas berlaku kekosongan jawatan tersebut.