Jangan tunggu korban seterusnya, penduduk rayu jalan besar Jengka 3 ditambah baik

Iklan
Mohamad Nazirul meninjau laluan yang kerap berlaku kemalangan bersama wakil Ibu Pejabat FGV Holdings Berhad. Foto ihsan pembaca (Gambar kecil dari kiri: Mohd Rafie, Asmawie dan Abdul Latip)

JENGKA – Penduduk Felda Jengka 3 merayu supaya aspek keselamatan laluan utama dari simpang masuk Kilang Sawit Jengka 3 hingga ke pintu gerbang felda, jalan raya itu ditambah baik segera susulan kejadian kemalangan yang kerap berlaku.

Difahamkan, kejadian terbaharu membabitkan pekerja kilang sawit, Marzukimahisham Mohamad Nor, 45, yang meninggal dunia di Hospital Jengka selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Iklan
Iklan

Pengerusi PASTI Al-Ansar Felda Jengka 3, Mohamad Nazirul Hazim Abd Manaf, 37, berkata, laluan utama perlu diberi perhatian segera bagi mengurangkan risiko kemalangan yang mengancam keselamatan pengguna.

Menurutnya, keadaan jalan yang tiada pencahayaan lebih membimbangkan pada awal pagi dan malam berikutan laluan itu digunakan penduduk untuk urusan harian.

Iklan

“Pemasangan lampu jalan berkuasa solar antara langkah praktikal yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan pencahayaan dan membantu pemandu melihat keadaan jalan dengan lebih jelas.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutama ketika keadaan gelap,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Dia sebelum itu meninjau lokasi berkenaan bersama wakil Ibu Pejabat FGV Holdings Berhad.

Mohd Rafie Ismail, 47, pula berkata, laluan berkenaan berisiko tinggi kerana menjadi laluan utama kenderaan berat seperti treler yang membawa muatan amang, kelapa sawit serta bas persiaran.

Menurutnya, perbezaan saiz kenderaan dan jarak penglihatan yang terhad pada waktu malam menyukarkan penunggang motosikal untuk menggunakan laluan itu dengan selamat.

“Kami bukan apa, cuma menuntut hak keselamatan asas sebagai pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

"Kebanyakan yang lalu di sini ialah orang kampung, pekerja kilang, anak-anak sekolah dan peneroka yang terpaksa berdepan risiko setiap hari demi mencari rezeki.

“Jadi, harapan kami agar suara rakyat di peringkat akar umbi ini didengari dan mendapat maklum balas positif daripada pihak berwajib sebelum kemalangan seterusnya berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Asmawie Abdullah, 43, pula berharap kerajaan dan agensi berkaitan dapat mempercepat usaha menaik taraf keadaan fizikal jalan serta menambah baik kemudahan keselamatan di laluan berkenaan.

Menurutnya, selain lampu jalan, garisan jalan yang jelas dan pemantul cahaya (cat's eye) juga diperlukan bagi membantu pemandu mengenal pasti selekoh serta lebar jalan, khususnya ketika hujan atau berkabus.

“Penyelenggaraan berkala seperti pemotongan pokok dan semak di bahu jalan juga penting kerana keadaan itu boleh menghalang pandangan pemandu serta menutup papan tanda amaran.

“Penambahbaikan keadaan fizikal jalan dan kemudahan keselamatan perlu diberi perhatian supaya pengguna dapat melalui laluan ini dengan lebih selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Latip Md Aji, 54, pula mencadangkan supaya papan tanda amaran kawasan berbahaya dan had kelajuan ditambah di lokasi strategik sepanjang laluan berkenaan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membantu pemandu, khususnya mereka yang jarang menggunakan laluan tersebut, lebih peka terhadap keadaan jalan dan selekoh yang perlu dilalui.

“Papan tanda amaran yang jelas dan dilengkapi bahan pemantul cahaya dapat memberi peringatan awal kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan sebelum memasuki kawasan berisiko,” katanya.