KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga permohonan semakan kehakiman didengar dan diputuskan.
Bagaimanapun, Hakim, Datuk Azizan Md Arshad menetapkan 22 Oktober bagi mendengar permohonan PN untuk penggantungan inter-parte notis sama.
Mahkamah membenarkan gabungan itu memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.
Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan peguam, Ivanpal Singh Grewal yang mewakili PN dan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan bagi pihak responden.
Permohonan berkenaan difailkan lima pemimpin parti komponen PN, diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku pemohon pertama.
Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People's Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Datuk Sazmi Miah.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, PN mendakwa kegagalan menangguhkan atau membatalkan notis berkenaan sebelum hari penamaan calon akan menjejaskan penyertaan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Dalam sijil perakuan segera yang difailkan bersama permohonan, PN turut mendakwa notis itu menghalang gabungan berkenaan menjalankan kegiatan politik seperti biasa, termasuk memberi kuasa kepada calon untuk bertanding menggunakan nama dan logo PN.
Menurut gabungan itu, sebarang keputusan mahkamah selepas hari penamaan calon akan terlambat kerana peluang untuk meletakkan wakil menggunakan nama dan logo berkenaan tidak lagi dapat dikembalikan.
PN turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya dijadualkan bermesyuarat pada Rabu ini bagi menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan pengundian PRN Melaka.
Gabungan itu mendakwa, jika penggantungan berkenaan berkuat kuasa sehingga hari penamaan calon, tiada pegawai yang diberi kuasa dapat menandatangani dokumen yang diperlukan bagi membolehkan calon bertanding atas nama dan logo PN.
AKAN MENYUSUL