KUANTAN – Seorang pengusaha kebun durian warga emas kerugian RM202,460 selepas terperdaya dengan tawaran nombor ramalan yang menjanjikan kemenangan loteri berjumlah RM1.2 juta.
Wanita berusia 63 tahun yang menetap di Bandar Jengka, Maran menggunakan semua wang simpanan sendiri dan hasil pajakan barang kemas untuk bayaran yang kononnya diperlukan bagi menuntut wang kemenangan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, semuanya bermula apabila mangsa melihat iklan video di Facebook yang memperkenalkan seorang individu sebagai sami dari sebuah tokong di selatan Thailand dan menawarkan khidmat tilik nasib kewangan pada 25 November 2025.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian menghubungi suspek pertama menerusi telefon sebelum dimaklumkan bahawa nasibnya boleh diubah dengan membeli tiket loteri Magnum 4D serta berpeluang memenangi hadiah utama.
“Mangsa kemudiannya diarahkan berurusan dengan seorang lagi individu yang didakwa sebagai ejen di Kelantan bagi tujuan pembayaran sebelum dimaklumkan telah memenangi hadiah tempat pertama loteri berjumlah RM1.2 juta,” katanya pada Selasa.
Beliau menambah, mangsa kemudian diminta membuat beberapa bayaran kononnya untuk urusan pihak bank dan cukai pindahan wang antara negara bagi membolehkan wang kemenangan itu dikeluarkan.
Jelas Azry Akmar, bermula dari 23 Disember 2025 hingga 22 Mei 2026, mangsa membuat 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM202,460.
"Mangsa tidak menerima wang kemenangan seperti dijanjikan sebelum menyedari dirinya diperdaya lalu membuat laporan polis.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai n supaya tidak mudah mempercayai tawaran kemenangan loteri, nombor ramalan atau hadiah lumayan menerusi media sosial dan aplikasi komunikasi.
Tegasnya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran atas alasan cukai, yuran pelepasan atau caj bank tanpa terlebih dahulu membuat semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan.
"Sebarang maklumat berkaitan penipuan boleh disalurkan kepada pihak polis atau National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997," jelasnya.