Bantuan khas RM1,000: Lega seketika, bagaimana pula masa depan industri teksi?

Iklan
Usaha memperkukuh industri teksi perlu melangkaui pemberian bantuan kewangan semata-mata. Foto hiasan

PENGUMUMAN Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah memberikan sedikit kelegaan kepada golongan itu bagi mendepani tekanan kewangan.

Bantuan itu bukan sahaja dapat meringankan beban perbelanjaan akibat peningkatan kos operasi, malah mencerminkan usaha kerajaan membantu pengusaha pengangkutan meneruskan kelangsungan mata pencarian dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Iklan
Iklan

Bagi pemandu teksi, Baharuddin Abu Bakar, 56, bantuan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk menyelenggara dan membaik pulih kenderaannya.

Katanya, kos penyelenggaraan dan pembaikan teksi memerlukan perbelanjaan besar, sekali gus menambah beban pemandu yang berdepan pendapatan tidak menentu.

Iklan

Namun, di sebalik kelegaan yang diberikan, timbul persoalan sama ada suntikan tunai sekali bayar itu mampu menangani cabaran kewangan yang dihadapi golongan berkenaan dalam jangka panjang.

Ini kerana, kos operasi seperti bahan api, alat ganti, insurans dan pembaikan kenderaan perlu ditanggung secara berterusan. Tanpa pendapatan yang stabil, bantuan kewangan bersifat sementara mungkin hanya mampu menampung sebahagian daripada perbelanjaan tersebut.

Iklan

Justeru, usaha memperkukuh industri teksi perlu melangkaui pemberian bantuan kewangan semata-mata. Strategi jangka panjang perlu dirangka bagi memastikan industri itu kekal relevan dalam landskap pengangkutan awam yang semakin berubah.

Kehadiran perkhidmatan seperti e-hailing yang menawarkan kemudahan tempahan melalui aplikasi, pilihan pembayaran tanpa tunai dan maklumat perjalanan yang mudah diakses telah mengubah jangkaan pengguna terhadap perkhidmatan pengangkutan.

Persaingan itu bukan bermakna industri teksi tidak lagi mempunyai tempat, sebaliknya menuntut pengusaha dan pemandu menyesuaikan perkhidmatan mengikut keperluan semasa.

Teksi masih berpotensi menjadi pilihan, khususnya bagi pengguna yang memerlukan pengangkutan di lokasi strategik seperti lapangan terbang, hab pengangkutan awam, hospital dan kawasan tumpuan pelancong.

Oleh itu, gabungan sokongan kerajaan, kesediaan pengusaha berubah dan penambahbaikan perkhidmatan perlu menjadi asas untuk memastikan industri itu kekal relevan dalam sistem pengangkutan negara.

Industri teksi tidak boleh bergantung pada bantuan semata-mata untuk terus bertahan. Bantuan RM1,000 sememangnya dapat melegakan dan meringankan beban pemandu, tetapi bagaimana dengan masa depan industri teksi.

Ini kerana, cabaran sebenar ialah memastikan golongan berkenaan mampu terus menjana pendapatan, menarik penumpang dan bersaing dalam persekitaran pengangkutan yang semakin dipacu teknologi.

Jadi, adakah bantuan sekali bayar ini mampu membawa perubahan berpanjangan sekiranya cabaran asas industri masih belum ditangani?