Jerebu: Rakyat Pahang dinasihatkan berwaspada - Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN – Rakyat Pahang dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang menyebabkan penutupan sementara institusi pendidikan di Rompin dan Kuantan mulai esok.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang itu dibuat bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan terpelihara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, orang ramai disaran mengurangkan aktiviti di luar rumah, mematuhi nasihat pihak berkuasa, mengelakkan pembakaran terbuka dan memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.

“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu diberikan perhatian khusus.

Iklan

“Ibu bapa, majikan dan penganjur program juga diminta mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Rosdy turut menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala yang membimbangkan.

Iklan

Tegas beliau, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau perkembangan semasa bersama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil demi kepentingan rakyat.

"Marilah kita berdoa agar keadaan jerebu ini segera pulih dan seluruh rakyat Pahang sentiasa dilindungi ALLAH SWT serta dikurniakan kesihatan yang baik dan sejahtera," ujarnya.