Jerebu: Institusi pendidikan di Kuantan, Rompin ditutup sementara esok

Iklan
JPN Pahang memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa mulai esok sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.

KUANTAN - Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di daerah Rompin dan Kuantan ditutup sementara mulai esok berikutan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

JPN Pahang dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa mulai esok sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.

Iklan
Iklan

"Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

"Semua institusi pendidikan di daerah Rompin dan Kuantan hendaklah memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan serta mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa," katanya.

Iklan

Menurut kenyataan itu, pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang setelah keadaan dan bacaan IPU berada pada tahap yang membolehkan institusi beroperasi dengan selamat.

Jelas kenyataan tersebut, pihak institusi pendidikan juga hendaklah mengawal aktiviti yang boleh mendedahkan murid dan warga pendidikan kepada udara tidak sihat serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi keselamatan dan kesihatan mereka.

Iklan

"JPN Pahang mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan.

"Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rompin, PPD Kuantan dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan perkembangan semasa," katanya.