KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut dipercayai ketika cuba mencuri kabel elektrik bawah tanah di tepi jalan besar Kilometer 21, Felda Adela menghala ke Sungai Rengit, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata lelaki berkenaan ditemukan terbaring kira-kira satu meter dari pencawang elektrik dan 20 meter dari jalan raya.
Menurutnya, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.46 pagi.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi kejadian menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Yusof berkata, antara peralatan yang ditemukan ialah cangkul kecil berukuran 45 sentimeter, tukul besi, perengkuh paip, mesin canai tanpa wayar dan lampu suluh kepala.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk menjalani bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (LMM) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pegawai penyiasat, Ketua Polis Balai Adela, SM Muhammad Aliff Syah Abdullah, menerusi talian 013-7426353.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di 07-8831222.