Kenapa penyokong Manchester City bawa 'pisang' ke Anfield?

Iklan
Penyokong City membawa pelampung pisang ketika bertandang ke Anfield. Foto: AFP

PENYOKONG Manchester City mencuri perhatian apabila mengangkat pelampung pisang gergasi ketika pasukan itu membelasah Liverpool 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Simbol pisang berkenaan sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri yang bermula sejak era 1980-an ketika kelab tersebut melalui tempoh sukar dalam saingan bola sepak England.

Iklan
Iklan

Menurut laporan media, The Mirror, seorang penyokong bernama Frank Newton dipercayai menjadi individu pertama yang membawa pisang tiruan ke tempat duduk penonton ketika Manchester City menentang Plymouth Argyle di Stadium Maine Road pada musim 1987/88.

Ketika itu, The Citizens baru sahaja tersingkir daripada liga divisyen utama England ke divisyen dua sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong.

Iklan

Namun, penyokong kelab itu memilih pendekatan berbeza untuk menghadapi kemerosotan prestasi pasukan dengan menjadikan pisang sebagai simbol jenaka sinis selain mengaitkannya dengan bekas penyerang kelab, Imre Varadi.

Varadi yang meledak 31 gol dalam 81 penampilan bersama Manchester City pernah digelar 'Imre Banana' oleh seorang penyokong sebelum gelaran itu berkembang menjadi sebahagian daripada budaya penyokong The Citizens.

Iklan

Laungan berkaitan penyerang berkenaan mula bergema di stadium, manakala pisang pula semakin mendapat tempat dalam kalangan penyokong yang mahu menceriakan suasana ketika pasukan bergelut di atas padang.

Malah, pada perlawanan Boxing Day tahun berkenaan, kira-kira 10,000 penyokong Manchester City dikatakan membawa pelbagai jenis pisang ketika menyaksikan perlawanan di gelanggang Stoke City.

Fenomena itu muncul ketika bola sepak England turut berdepan zaman gelap akibat keganasan penyokong dan keadaan stadium yang daif.

Sejak itu, pisang terus menjadi simbol nostalgia dalam kalangan penyokong Manchester City dan kembali muncul pada perlawanan tertentu.

Kali ini, kemunculannya di Anfield membawa makna tersendiri ketika kelab itu berdepan tekanan susulan keputusan suruhanjaya bebas yang mendapati Manchester City bersalah atas 114 daripada 115 pertuduhan berkaitan pelanggaran peraturan kewangan liga.

Keputusan berkenaan mencetuskan kemungkinan hukuman berat, termasuk potensi penyingkiran ke divisyen lebih rendah dan penarikan gelaran, bergantung pada keputusan akhir serta tindakan yang bakal dikenakan.

Perlawanan menentang Liverpool menjadi peluang pertama penyokong kedua-dua pasukan untuk menyuarakan reaksi selepas rehat antarabangsa.

Penyokong tuan rumah menyambut kehadiran Erling Haaland dan rakan sepasukannya dengan sorakan ejekan selain mempamerkan sepanduk yang menyindir isu kewangan membabitkan Manchester City.

Ketegangan turut tercetus di luar stadium apabila penyokong kedua-dua pasukan bertukar kata-kata kesat dan isyarat provokatif sebelum perlawanan.

Ketika bas pasukan pelawat tiba, penyokong Liverpool turut melaungkan ejekan terhadap Manchester City susulan kontroversi berkenaan.

Bagaimanapun, Manchester City sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan suruhanjaya bebas itu, dengan proses berkenaan dijangka mengambil masa sebelum keputusan muktamad mengenai sebarang hukuman diketahui.